KUCHING: Pemansuhan caj RM1 bagi transaksi pengeluaran wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) yang berkuat kuasa pada 1 Julai depan dijangka memberi kelegaan kepada pengguna, khususnya mereka yang kerap menggunakan kemudahan perbankan tersebut.
Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Pengurusan (School of Business and Management), Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Dr Abdul Hayy Haziq Mohamad berkata langkah itu juga dilihat lebih bersifat sebagai penjimatan mikro kepada pengguna berbanding penyelesaian menyeluruh terhadap isu kos sara hidup.
“Jika seseorang melakukan beberapa transaksi pengeluaran tunai setiap bulan dengan jumlah caj tersebut, apabila terkumpul ia boleh menjadi belasan atau puluhan ringgit setahun bagi setiap individu. Justeru, pemansuhan itu dilihat mampu memberikan sedikit penjimatan.
“Bagaimanapun, dari sudut makroekonomi, pemansuhan caj RM1 ini tidak memberikan impak besar terhadap kos sara hidup keseluruhan rakyat kerana ia lebih banyak dipengaruhi faktor utama seperti harga makanan, perumahan, pengangkutan, utiliti dan tahap pendapatan isi rumah,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.
Semalam (15 Jun), Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), menerusi satu kenyataan bersama, mengumumkan bahawa pelanggan di kesemua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana ATM atau SRM tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.
Menurut ketiga-tiga pihak berkenaan, inisiatif itu membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.
ABM, AIBIM dan ADFIM menjelaskan bahawa inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) itu mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, inklusif dan berpatutan kepada pelanggan.
Dalam hal berkaitan, Abdul Hayy menambah, dari sudut psikologi ekonomi dan sentimen pengguna, pendekatan itu merupakan satu langkah positif kerana pengguna berasa beban caj tambahan dapat dikurangkan.
“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, sebarang pengurangan kos transaksi walaupun kecil tetap memberi nilai kepada pengguna,” ujarnya.
Mengulas sama ada pemansuhan caj itu akan memberi kesan terhadap penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai, beliau berpendapat kesannya mungkin terhad memandangkan trend semasa menunjukkan rakyat Malaysia semakin selesa menggunakan pembayaran digital seperti DuitNow QR, perbankan mudah alih dan e-dompet kerana faktor kemudahan, kepantasan serta keselamatan.
Menurutnya, pemansuhan caj ATM mungkin meningkatkan sedikit penggunaan wang tunai, khususnya bagi pengguna di kawasan luar bandar, golongan warga emas atau mereka yang masih bergantung kepada transaksi tunai.
“Namun, ia tidak dijangka mengubah trend utama ke arah ekonomi digital. Malah, penggunaan pembayaran digital terus berkembang kerana kebanyakan transaksi harian kini boleh dilakukan tanpa tunai.
“Justeru, pemansuhan caj tersebut lebih kepada memberi fleksibiliti kepada pengguna untuk mengakses wang tunai tanpa kos tambahan berbanding menggalakkan peralihan besar daripada pembayaran digital kepada tunai,” tegasnya.

