Campur tangan beri impak besar selesai isu sekolah 3B – Simoi

SRI AMAN: Campur tangan Kerajaan Sarawak dalam menyelesaikan isu sekolah daif di negeri ini memberi impak yang cukup besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri memberitahu, ciri 3B iaitu ‘beringgut’, bergoyang dan bocor yang dialami oleh kebanyakan sekolah daif termasuk kuarters guru di kawasan luar bandar amat menyedihkan sehingga masih menjadi masalah utama.

“Sebab itu apabila diwujudkan Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi di peringkat negeri seterusnya campur tangan dalam menyelesaikan isu sekolah daif, ramai pihak menarik nafas lega.

“Hal tersebut kerana kegagalan Kerajaan Pusat di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dalam menyediakan peruntukan yang sewajarnya sedangkan ia merupakan bidang kuasa mereka… walaupun sudah beberapa kali berjanji,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sungkei dan Ceramah Perdana bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Ke-48 bersama Ustaz Syamsul Debat yang berlangsung di Masjid Besar Bandar Sri Aman, malam tadi.

SIMOI PERI

Tetapi jelasnya, sikap ambil peduli dan bertolak ansur Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi sinar baharu yang diharapkan anak bangsa di negeri ini.

“Ini membuktikan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat menitikberatkan pendidikan termasuk menyelesaikan sekolah 3B demi melahirkan modal insan yang berjaya.

“Malah saya sendiri selaku wakil rakyat GPS akan memberi komitmen baik dengan membantu Pejabat Pendidikan Daerah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Saya tiada halangan untuk menyediakan peruntukan kepada sekolah. Saya tahu kalau bukan wakil rakyat GPS, maka siapa lagi?,” ujarnya.

Dalam nada mengharap, Simoi mahu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak harus bertolak ansur kerana ia menyentuh soal modal insan.

“Saya percaya dengan adanya muafakat, akan memberi impak positif dalam kita merancang sesuatu yang strategik demi anak-anak Sarawak,” tegasnya.

Beliau dalam majlis yang sama memaklumkan Sekolah Kebangsaan (SK) Maludam kini dalam proses dan dijangka siap 2021 yang menelan kos RM36.7 juta.

Simoi dalam pada itu menzahirkan penghargaan kepada para guru yang telah memberi sumbangan besar dalam dalam pembangunan pendidikan dan modal insan di negara ini.

Beliau menyifatkan keikhlasan seseorang guru yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah mendidik serta mencurah ilmu diharap diberikan oleh Allah SWT ganjaran yang setimpal di dunia mahupun akhirat.

“Ayuh ibu bapa, sedarilah… siapa kita? dan siapa anak kita tanpa tanpa mereka. Tahniah guru Malaysia,” tambahnya.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Sarawak Dr. Azhar Ahmad, Ketua Sektor Pendidikan Islam Hosen Mahrip dan Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Dr. Abang Adam Abang Deli.

SELAMAT DATANG … Simoi Peri disambut oleh warga pendidik sebaik tiba di Masjid Besar Bandar Sri Aman bagi merasmikan Majlis Sungkei dan Ceramah Perdana bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Ke-48. Foto. OSMAN RAZALI

 

BERSAMA RAKYAT … Simoi Peri serta jemaah wanita yang lain sempat memberi respon terhadap lensa kamera pada majlis tersebut.