MIRI: Kerajaan kini mewarisi bebanan hutang yang berlebihan iaitu sebanyak RM1.5 trilion, kata Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.
Katanya, ia diikuti dengan bayaran khidmat hutang tahun ini yang mencecah RM46.1 bilion atau 15.2 peratus daripada hasil negara.
Justeru katanya, kerajaan perlu mengambil pertimbangan utama dalam belanjawan akan datang atau dalam mana-mana dasar fiskal
. “Bagi mencapai kedudukan kewangan yang lebih sihat, kerajaan perlu mengurangkan kadar defisit dan kadar pertumbuhan hutang dan sebaliknya meningkatkan hasil dan pendapatan.
“Walaupun tindakan ini kurang popular tetapi ia sangat diperlukan demi menjaga kepentingan negara pada jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, sekiranya hutang tidak dikawal, wang yang sepatutnya diperuntukkan khas bagi pembangunan negara dan manfaat rakyat terpaksa digunakan untuk membayar balik hutang sama ada melibatkan bayaran pokok atau bunga.
Di samping itu, beliau menyatakan bahawa kerajaan telah mengambil langkah untuk meluaskan asas hasil negara seperti menaikkan cukai perkhidmatan, cukai keuntungan modal, cukai barang bernilai tinggi dan cukai minimum global.
Mengulas lanjut, Chiew berkata langkah itu merupakan salah satu usaha kerajaan dalam mencapai kedudukan kewangan sihat.
Namun katanya, kerajaan juga perlu memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan adalah tepat pada sasarannya.
Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan subsidi yang merupakan sebahagian besar perbelanjaan disampaikan kepada golongan yang betul-betul memerlukan bagi mencari mekanisme lebih berkesan dalam memberikan subsidi.
“Sementara itu, kos yang dapat dijimatkan oleh kerajaan yang menggalakkan peningkatan kadar bantuan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan dasar perlindungan sosial seperti yang terdapat di bawah perlindungan PERKESO perlu diteruskan dan ditambah baik,” katanya.



