ARTIKEL

Jumaat ditemui pemberita pada Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak Edisi Ke-10 di NAIM Street Mall, Paragon Bintulu.

Muay Thai Sarawak mahu perluas kejohanan cungkil bakat belia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Persatuan Muay Thai Negeri Sarawak berhasrat memperluas penganjuran kejohanan dan program pembangunan sukan itu bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam kalangan belia, selain mempromosikan Bintulu dan Sarawak ke peringkat antarabangsa.

Presidennya, Jumaat Ibrahim berkata penyertaan atlet daripada enam negara dalam Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak Ke-10 di Paragon Naim Street Mall di sini membuka peluang kepada peserta antarabangsa mengenali Bintulu dengan lebih dekat.

Beliau berkata penganjuran kejohanan itu bukan sahaja menyediakan platform kepada atlet tempatan untuk mengembangkan potensi mereka, malah membantu memperkenalkan keunikan Bintulu sebagai destinasi sukan dan pelancongan.

Menurutnya, pengalaman yang diperoleh atlet antarabangsa sepanjang berada di Bintulu boleh dikongsi apabila mereka kembali ke negara masing-masing, sekali gus membantu memperluas promosi bandar itu kepada masyarakat luar negara.

“Bintulu mempunyai pelbagai kemudahan, termasuk lapangan terbang, kawasan perindustrian, hotel serta pilihan makanan tempatan yang menarik untuk diketengahkan kepada pengunjung antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak Edisi Ke-10 di NAIM Street Mall, Paragon Bintulu, malam tadi.

Menurutnya, Persatuan Muay Thai Sarawak akan terus berusaha mempromosikan sukan itu di seluruh negeri, selaras dengan aspirasi Premier Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebagai ‘House of Sports’.

Sehubungan itu, katanya, sokongan kerajaan, penaja dan pelbagai pihak amat penting bagi memastikan pembangunan sukan Muay Thai dapat dilaksanakan secara berterusan, khususnya dalam usaha melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming atas kehadiran dan sokongan terhadap kejohanan berkenaan.

Penghargaan turut diberikan kepada semua penaja, termasuk Bintulu Port Holdings Berhad, BBC Plantation, NAIM Street Mall, Maysville Sdn Bhd dan Press Metal, yang membantu menjayakan penganjuran kejohanan itu.

Menurutnya, Muay Thai bukan sekadar sukan pertarungan, sebaliknya seni mempertahankan diri yang menekankan disiplin, ketahanan mental dan pembentukan karakter dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata penglibatan golongan muda dalam sukan itu dapat membantu membentuk sahsiah positif, sekali gus melahirkan generasi yang lebih berdisiplin dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Pada masa sama, beliau berkata penganjuran kejohanan sukan turut membuka ruang untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat Sarawak kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Katanya, nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang bagi memastikan keamanan dan kemakmuran Sarawak berkekalan.

Selain Muay Thai, penganjuran Piala Premier Sarawak turut mengetengahkan aktiviti lain, termasuk silat, kuntau, e-sukan dan sukan lastik, selain gerai makanan tempatan yang memberi peluang kepada pengunjung menikmati kepelbagaian sajian masyarakat setempat.

Beliau berharap kerjasama antara persatuan, kerajaan dan sektor swasta dapat terus diperkukuh bagi memperluas pembangunan sukan, melahirkan lebih ramai atlet berpotensi serta menjadikan penganjuran kejohanan sebagai platform mempromosikan Sarawak ke peringkat antarabangsa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU