BINTULU: Sukan Muay Thai bukan sekadar medan menguji kekuatan fizikal dan kemahiran bertarung, sebaliknya antara medium untuk membentuk disiplin diri dan membantu membendung gejala buli dalam kalangan pelajar menerusi penerapan nilai tanggungjawab, kawalan emosi serta rasa hormat terhadap orang lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kemahiran mempertahankan diri yang dipelajari menerusi sukan itu tidak seharusnya disalahgunakan untuk mengugut, membuli atau menyelesaikan konflik, khususnya dalam persekitaran sekolah.

Beliau berkata, meskipun Muay Thai ialah sukan tempur yang melibatkan sentuhan fizikal, peserta perlu memahami bahawa disiplin, rasa hormat terhadap orang lain dan kawalan emosi ialah antara prinsip penting yang perlu diamalkan.
Menurut beliau, latihan Muay Thai bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan fizikal, malah berpotensi membentuk sahsiah golongan muda sekiranya disertai penerapan disiplin dan nilai murni secara konsisten.
“Saya berharap latihan Muay Thai dapat diperkenalkan di sekolah kerana sukan ini bukan sahaja memberikan latihan fizikal yang baik, malah mendidik pelajar supaya berdisiplin.
“Saya tidak mahu melihat mereka menyalahgunakan kemahiran yang dipelajari untuk membuli atau menyelesaikan konflik di sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak Edisi Ke-10 di NAIM Street Mall, Paragon Bintulu, malam tadi.
Menurutnya, kemahiran mempertahankan diri perlu disertai kesedaran tentang tanggungjawab dan batas penggunaannya supaya tidak menjadi punca kepada pergaduhan atau tindakan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.
Justeru, beliau berharap latihan Muay Thai dapat dilihat bukan sekadar sebagai aktiviti sukan, tetapi juga sebagai salah satu pendekatan untuk memupuk disiplin, membina keyakinan diri dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar.
Dalam perkembangan berkaitan, Johnny Pang menyifatkan penganjuran kejohanan berkenaan sebagai bukti sokongan Premier Sarawak terhadap usaha menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan belia untuk menyertai aktiviti sukan dan mengembangkan bakat masing-masing.
Katanya, penganjuran Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak antara platform penting untuk mencungkil bakat baharu dan memperkukuh pembangunan sukan itu di Sarawak.
Beliau berkata, Bintulu mempunyai asas yang baik dalam pembangunan Muay Thai menerusi penglibatan pelbagai persatuan dan kelab yang melatih atlet sejak usia muda.
Sehubungan itu, beliau berharap usaha berkenaan dapat diteruskan dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat yang mampu mewakili Sarawak dalam kejohanan peringkat lebih tinggi, termasuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA).
ADUN Tanjong Batu itu turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, penaja dan semua pihak yang membantu menjayakan kejohanan berkenaan, termasuk Bintulu Port, Paragon Mall dan Naim Land.
Menurutnya, kerjasama antara persatuan sukan, pihak swasta dan komuniti penting bagi memastikan pembangunan Muay Thai dapat diteruskan, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk mengembangkan potensi mereka melalui kegiatan sukan yang positif.
Mengulas perkembangan Muay Thai di Sarawak, Johnny Pang berkata, sokongan masyarakat serta penaja, termasuk Yayasan Bintulu, memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan sukan berkenaan.
Menurutnya, pencapaian skuad Muay Thai Sarawak yang muncul juara keseluruhan acara itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 dengan meraih lima pingat emas membuktikan keupayaan negeri ini melahirkan atlet yang mampu bersaing pada peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, pencapaian berkenaan wajar dijadikan motivasi kepada atlet muda untuk terus meningkatkan prestasi melalui latihan berterusan, disiplin dan komitmen.



