ARTIKEL

Julaihi berucap pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2025, di sini, hari ini. FOTO: RAMIDI SUBARI

Capaian Internet Sarawak semakin luas, capai 92.6 peratus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Capaian Internet di Sarawak semakin meluas, mencerminkan kemajuan berterusan dan usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh jaringan digital ke seluruh pelosok negeri.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi, berkata liputan Internet di Sarawak setakat ini mencapai 92.6 peratus kawasan berpenduduk.

“Ini merupakan hasil peluasan gentian optik luar bandar dan pembinaan menara komunikasi baharu serta sambungan satelit,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2025, di sini, hari ini.

Tambah beliau, Sarawak kini memasuki fasa baharu transformasi digital melalui pembangunan reka bentuk berasaskan sumber tenaga bersih.

“Walaupun pelaksanaan 5G masih banyak bergantung kepada sambungan grid elektrik, reka bentuk bagi pelaksanaan masa depan sedang dirancang dengan mengambil kira penggunaan tenaga bersih.

“Rangkaian 5G Sarawak kini mencapai kira-kira 63.8 peratus liputan di seluruh negeri dan dijangka melebihi 80 peratus menjelang separuh kedua 2026,” ujarnya.

Menjelas lanjut, lebih 35,700 premis di kawasan bandar dan rumah panjang telah disambungkan dan disokong 580 tapak pemancar SMART di seluruh negeri.

“Inisiatif ini dilaksanakan melalui MySRBN oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) bagi memberi akses kepada pelajar mengikuti kelas dalam talian.

“Selain itu, keluarga dapat menikmati perkhidmatan telekesihatan, manakala usahawan mampu menembusi pasaran baharu dengan adanya kemudahan tapak pemancar SMART ini,” jelasnya.

Tegas beliau, keterhubungan digital bukan sekadar menyediakan isyarat, tetapi juga membuka akses kepada kemahiran dan perkhidmatan digital.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menubuhkan 156 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Sarawak bagi menyediakan kemudahan jalur lebar, latihan digital dan perkhidmatan e-kerajaan kepada komuniti.

“Usaha ini turut dilengkapi dengan inisiatif kerajaan negeri melalui Pusat Komuniti Digital (DCC) dan Hab Inovasi Digital (DIH) yang memperkukuh peluang digital dan pembangunan kemahiran, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU