Cara kerja baharu tidak ganggu

SIMANGGANG: Walaupun aktiviti turun padang untuk berjumpa rakyat sangat terhad ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rata-rata pemimpin negeri aktif memanfaatkan teknologi bagi memastikan sistem penyampaian tidak terganggu.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, perubahan cara kerja akibat PKP yang tidak seperti kebiasaannya memberi kesan kepada ramai wakil rakyat yang mementingkan konsep turun padang untuk berjumpa rakyat.

“Sebab itu, semua pihak termasuk pemimpin harus mengambil langkah proaktif agar terus memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Kami sebenarnya bernasib baik kerana dengan adanya teknologi terkini, ia banyak membantu dalam memperkasakan sistem penyampaian kepada rakyat.

“Secara peribadi, saya berasakan keadaan semasa yang berlaku tidak melemahkan semangat untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya di sini, semalam.

Jelasnya yang juga Adun Simanggang, seseorang wakil rakyat harus cepat mengadaptasi cara kerja baharu ekoran pergerakan yang sangat terbatas.

Sungguhpun begitu tambahnya, jika terdapat tugas penting, peluang menjenguk rakyat tidak harus dilepaskan sambil menghulurkan bantuan.

“Tanggungjawab yang diamanahkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di bawah Jawatankuasa Rantaian Makanan kepada saya sebagai penyelaras Program Pengagihan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang di Dun Simanggang dan Engkilili telah dilaksanakan sebaik mungkin.

“Ia penting agar bantuan bekalan makanan sampai ke segenap lapisan penduduk di kawasan pedalaman,” ujarnya.

Setakat ini tambah Harden, sebanyak 4,415 KIR (Dun Simanggang) dan 4,321 KIR (Dun Engkilili) sudah mendapat pek bantuan makanan masing-masing tidak termasuk senarai laporan KIR tercicir.

Beliau dalam pada itu sering terlibat dengan mesyuarat melalui sidang video bersama-sama rakan menteri dan pegawai atasan untuk membincangkan isu-isu serta mencari jalan penyelesaian.

Antaranya yang terkini mengenai kajian impak pandemik Covid19 terhadap kesejahteraan sosioekonomi penduduk Sarawak.

Suara Sarawak