PENYANYI rap sensasi, Cardi B, mencuri tumpuan ramai apabila membuat penampilan sopan semasa konsert di Arab Saudi baru-baru ini.
Kehadirannya di negara Timur Tengah itu menjadi bualan hangat di media sosial.
Cardi B memuat naik beberapa foto di Instagram yang memaparkan dirinya mengenakan busana serba hitam, termasuk pakaian labuh dan longgar, selari dengan peraturan negara tersebut untuk selebriti yang hadir dalam acara hiburan.
“Hello Arab Saudi, halal B sudah tiba,” tulis Cardi dalam salah satu hantaran, menandakan kehadirannya dengan penuh mesra.
Selain itu, penyanyi itu berkongsi video dirinya lengkap berbaju jubah dan berhijab sambil bersenam di atas treadmill, sambil memberi salam kepada pengikutnya.
“Assalamualaikum, masyaAllah,” katanya lagi.
Difahamkan, kehadiran Cardi B adalah untuk membuat persembahan di Festival Soundstorm 2025 yang berlangsung di Riyadh, bersama beberapa artis popular lain dari peringkat antarabangsa.
Perkongsian Cardi itu menerima pujian ramai, dengan pengikutnya menjadikan tindakannya sebagai contoh bagi selebriti antarabangsa lain untuk menghormati budaya dan agama negara yang mereka kunjungi.



