KUCHING: Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (JPS) mencari pembiayaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk melaksanakan projek Kajian Pelan Induk Pengurusan Saliran Air Hujan di Betong, Saratok, Spaoh dan Debak.
Timbalan Premier yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.56 juta di bawah RMK11 untuk menjalankan kajian tersebut yang siap pada Ogos 2021.
“Berdasarkan dapatan kajian, kerja penambahbaikkan perparitan untuk Daerah Saratok merangkumi kawasan tadahan di Sungai Melango (RM56.77 juta), Batang Krian (RM18.37 juta) dan Sungai Diso (RM4.31 juta), dikemukakan di bawah RMK-12 tetapi tidak diluluskan. Jabatan akan terus mencari pembiayaan di bawah RMK-13 untuk projek-projek ini.
“Projek naik taraf sistem perparitan di 14 kampung di Saratok diluluskan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dan untuk dilaksanakan oleh Majlis Daerah Saratok (MDS), dijangka akan ditender pada suku kedua 2025,” katanya.
Beliau berkata, MDS akan membuat permohonan dana dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk projek naik taraf perparitan di Pekan Saratok untuk menangani masalah banjir.
Bagi masalah banjir membabitkan kawasan perumahan di Bintulu, Kui Hian berkata Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) memperuntukkan RM1.9 juta untuk menaik taraf sistem perparitan di Bintulu.
Katanya, projek penting itu membabitkan kerja naik taraf perparitan di Taman Clean, Tanjung Batu, kerja naik taraf perparitan di Ing Ling Residence dan penambahbaikkan jalan dan saliran di Rancangan Perumahan Rakyat Sebiew.
Selain itu, katanya BDA telah bekerjasama dengan JPS untuk kerja-kerja naik taraf saliran di Good Park Tanjung Batu dengan jumlah kos yang diluluskan sebanyak RM6.82 juta.




