KUCHING: Kerajaan Sarawak disaran terus memainkan peranan proaktif dalam mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu kenaikan kos tiket penerbangan yang terus membebankan rakyat khususnya ketika musim perayaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, isu tersebut sentiasa dekat di hati rakyat Sarawak yang tinggal di perantauan, terutama golongan pelajar dan pekerja yang ingin pulang ke kampung halaman.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Antara langkah yang boleh dipertimbangkan adalah memperkukuh mekanisme harga siling tiket penerbangan khususnya menjelang musim perayaan.
“Kerajaan negeri boleh berbincang dengan pihak berkuasa penerbangan bagi menyelaraskan pelaksanaan harga siling lebih awal untuk mengelakkan lonjakan harga secara mendadak,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan supaya jumlah pesawat dan kekerapan penerbangan ke Sarawak ditambah ketika waktu puncak.
“Menerusi kerjasama dengan syarikat penerbangan, pertambahan jumlah penerbangan dapat membantu menampung permintaan tinggi selain menstabilkan harga tiket,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya inisiatif subsidi bersasar sedia ada kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan golongan pekerja Sarawak berpendapatan rendah diperluaskan.
“Langkah ini penting bagi membantu meringankan beban rakyat Sarawak untuk pulang ke kampung halaman terutama ketika musim perayaan,” jelasnya.
Semakan mendapati, harga tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Kuching untuk baki bulan Mei ini menunjukkan trend peningkatan ketara berikutan musim perayaan Gawai yang semakin hampir
Tiket bagi tarikh 22 hingga 24 Mei 2026 mencatatkan lonjakan drastik dengan harga bermula dari RM670 sehingga RM1,386 sehala bagi kelas ekonomi, manakala menjelang kemuncak perayaan pada 28 hingga 31 Mei, harga asas disekat menerusi inisiatif harga maksimum RM499 sehala sebelum cukai dan fi, menjadikan jumlah tiket akhir di sistem sekitar RM607 sehala.

