KUCHING: Kekangan kemudahan pengeluaran dan pembungkusan yang selama ini membataskan potensi produk tempatan untuk menembusi pasaran lebih luas bakal ditangani menerusi penubuhan CENTEXS Commercial Packaging Centre (CCPC) yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2027.
Dengan sasaran penyertaan 200 usahawan pada tahun depan, pusat berkenaan bakal menyediakan kemudahan bersepadu merangkumi pembangunan produk, pemprosesan makanan, pembungkusan dan pemasaran bagi meningkatkan daya saing perusahaan tempatan.

Pengurus Besar CENTEXS Commercial Sarawak, Mohamad Shahren Mohamad Yusri berkata, penubuhan CCPC bertujuan merapatkan jurang antara keupayaan usahawan menghasilkan produk dengan keperluan pengeluaran dan pembungkusan pada skala komersial.
Menurutnya, pusat yang terdiri daripada dua blok bangunan empat tingkat itu dijangka memulakan operasi pada Januari depan, manakala majlis perasmian rasmi dirancang pada Februari bagi membolehkan kelancaran operasi dinilai terlebih dahulu.
“Tujuannya adalah untuk memberi ruang kepada CCPC beroperasi terlebih dahulu dan melihat apa-apa yang boleh kita lakukan pada peringkat awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Empowering Sellers Bersama Usahawan Sarawak anjuran CENTEXS Commercial dengan kerjasama TikTok Shop Malaysia, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Shahren berkata, CCPC akan menawarkan empat pakej perkhidmatan yang disesuaikan dengan keperluan serta tahap perkembangan perniagaan usahawan.
Katanya, pakej pertama meliputi reka bentuk dan konsep pembungkusan, manakala pakej kedua menyediakan perkhidmatan reka bentuk serta percetakan pembungkusan kepada pengusaha yang sudah mempunyai kemudahan pengeluaran sendiri.

“Pakej ketiga pula merangkumi perkhidmatan pembungkusan termasuk pengisian, penimbangan, pengedapan dan pemprosesan retort, manakala pakej keempat menawarkan sokongan menyeluruh daripada pembangunan produk hingga pengkomersialan dan pemasaran,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan usahawan memilih perkhidmatan yang bersesuaian tanpa perlu menanggung kos penyediaan keseluruhan kemudahan pengeluaran dan pembungkusan sendiri.
Katanya, pusat berkenaan turut menyediakan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D), penilaian serta penambahbaikan produk dengan sokongan rakan strategik termasuk Polypack, sebuah syarikat yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri pembungkusan.
“Selain ruang dapur pemprosesan makanan, CCPC akan dilengkapi mesin seperti tangki pencampuran, mesin penghomogenan dan tangki penyimpanan, manakala peralatan memasak khusus perlu disediakan sendiri oleh usahawan mengikut jenis produk.
“Bagi fasa pertama, CCPC akan memberi tumpuan kepada pembungkusan jenis pouch dan sachet dengan kapasiti yang dirancang masing-masing sebanyak 28,000 unit dan 192,000 unit sebulan,” tambahnya.
Mohamad Shahren berkata, kemudahan itu dijangka membolehkan usahawan meningkatkan jumlah pengeluaran secara berperingkat, dengan kuantiti pesanan minimum ditetapkan sebanyak 1,500 unit bagi setiap pesanan.
Katanya, kemudahan pembungkusan tambahan termasuk botol dan dulang pula dirancang pada fasa kedua bagi memperluas pilihan kepada pengusaha tempatan.
“CCPC turut merancang menyediakan latihan pembangunan usahawan serta sokongan bagi membantu pengusaha membuat persediaan untuk memenuhi keperluan pensijilan halal dan keselamatan makanan.
“Sebagai persediaan awal, lima usahawan dipilih menyertai projek perintis CCPC bagi membangunkan prototaip produk sebelum pusat berkenaan memulakan operasi sepenuhnya,” katanya.
Menurut Mohamad Shahren, pemilihan peserta dibuat melalui beberapa sesi libat urus dan penilaian produk bagi memastikan usahawan yang terlibat bersedia untuk mengembangkan perniagaan.
Beliau berkata, kelima-lima peserta turut menunjukkan komitmen apabila menggunakan dana sendiri untuk memulakan pembangunan produk sementara menunggu sebarang bantuan pembiayaan yang mungkin diperoleh.
“Antara kategori produk yang terlibat ialah makanan sedia dimakan, makanan sedia dimasak, minuman sedia diminum, makanan sejuk beku dan produk berasaskan makanan laut.
“CENTEXS Commercial menyasarkan penyertaan kira-kira 200 usahawan dari seluruh Sarawak sepanjang 2027 bagi memperluas manfaat kemudahan pengeluaran dan pembungkusan berkenaan,” katanya.
Dalam usaha meringankan kos pembangunan produk, CENTEXS Commercial sedang membincangkan cadangan bantuan kewangan sekitar RM20,000 bagi setiap usahawan yang layak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED).
Mohamad Shahren berkata, cadangan berkenaan telah dibentangkan kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, namun sebarang kelulusan pembiayaan masih belum dimuktamadkan.
Beliau menjelaskan bahawa jumlah bantuan yang diperlukan bergantung pada jenis produk dan pakej perkhidmatan yang dipilih, dengan kos pembangunan tertentu berkemungkinan lebih rendah daripada jumlah yang dicadangkan.
Selain MINTRED, pihaknya turut merancang mendapatkan sokongan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memperluas akses pembiayaan kepada usahawan.
Terdahulu, Program Empowering Sellers Bersama Usahawan Sarawak yang berlangsung selama dua hari menghimpunkan peserta dari pelbagai kawasan termasuk Betong, Lawas dan Miri bagi mengikuti latihan pemasaran digital serta kaedah menjana pendapatan menerusi TikTok Shop Malaysia.
Tamat




