PAKAN: Penyandang kerusi DUN Meluan, Datuk Rolland Duat Jubin, bersedia mempertahankan kerusi berkenaan sekiranya dicalonkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13.
Rolland berkata, persediaan menghadapi pilihan raya bukan perkara baharu kerana beliau sentiasa bergerak dan mendekati rakyat bukan hanya ketika musim pilihan raya.
“Jika dicalonkan semula, saya bersedia menghadapi sebarang cabaran termasuk calon yang bakal menentang saya.
“Saya bukan baharu bersedia hari ini atau bulan ini, sebaliknya persiapan itu dilakukan sejak bertahun-tahun lalu ketika saya mula menjadi wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas menyempurnakan pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat projek naik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih, Rumah Sang Rantau Chirey, Ulu Entabai, di sini, hari ini.
Rolland yang juga Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Meluan turut yakin sokongan rakyat terhadap PDP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan berkenaan mampu terus diperkukuh berdasarkan pencapaian pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.
Katanya, peningkatan majoriti yang diperoleh pada pilihan raya lalu turut menjadi petunjuk positif penerimaan rakyat ke atas kepimpinan kerajaan.
“Saya berharap majoriti yang diperoleh kali ini akan terus meningkat berdasarkan pembangunan yang dibawa kerajaan kepada kawasan Meluan.
“Justeru, tidak mustahil kita mampu mempertahankan kerusi ini dengan majoriti yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata, PDP sebagai salah satu parti komponen GPS akan terus memainkan peranan dalam memperkukuh kestabilan politik serta memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat diteruskan.




