SPAOH: Tradisi meraikan anak-anak yang berjaya menamatkan pembacaan al-Quran atau khatam menerusi perarakan mengelilingi kampung menggunakan “usungan” merupakan warisan budaya masyarakat Melayu Saribas yang wajar terus dipelihara.
Keunikan tradisi berkenaan bukan sahaja menambahkan kemeriahan majlis khatam al-Quran, malah mencerminkan semangat kebersamaan, perpaduan dan sokongan masyarakat ke atas pencapaian anak-anak dalam pendidikan agama.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berharap tradisi berkenaan terus diamalkan meskipun masyarakat kini berdepan arus pemodenan yang semakin pesat.
“Sejujurnya saya seronok melihat orang Saribas dalam acara sebegini.
“Betul, majlis khatam dianjurkan pihak sekolah, tetapi dengan pelibatan seluruh kampung. Segak berbaju Melayu mengelilingi kampung.
“Si anak yang diraikan pula, teruja duduk atas usungan sambil diraikan masyarakat kampung,” katanya ketika merasmikan Majlis Khatam al-Quran Peringkat Sekolah Kebangsaan Supa, di sini, semalam.
Menurutnya, keunikan tersebut merupakan sebahagian daripada seni tradisi masyarakat Melayu yang mempunyai nilai tersendiri dan perlu diwariskan kepada generasi seterusnya.
Beliau berkata, amalan seumpama itu bukan sekadar memeriahkan sambutan khatam al-Quran, sebaliknya menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemai rasa bangga dalam kalangan anak-anak ke atas pencapaian mereka.

Katanya, pelibatan penduduk kampung dalam menjayakan majlis berkenaan turut memperlihatkan betapa pendidikan dan kejayaan anak-anak merupakan tanggungjawab bersama, bukannya terletak di bahu pihak sekolah semata-mata.
Justeru, beliau berharap ibu bapa dan masyarakat setempat terus memberikan sokongan dengan program pendidikan agama serta aktiviti kemasyarakatan yang mampu membentuk sahsiah dan jati diri generasi muda.
Dalam pada itu, Razi turut menekankan kepentingan pendidikan secara berterusan bermula dari peringkat awal kanak-kanak, sekolah rendah, menengah sehinggalah ke menara gading.
Katanya, pendidikan merupakan landasan penting untuk melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.




