PAKAN: Projek menaik taraf Jalan Sekolah Ulu Entaih, Rumah Sang Rantau Chirey, Ulu Entabai sepanjang 13.72 kilometer membabitkan kos RM19.7 juta dijangka siap Ogos tahun depan.
Penyandang Kerusi DUN Meluan, Datuk Rolland Duat Jubin berkata, projek yang kini memasuki fasa kedua itu dilaksanakan bagi menyediakan jaringan jalan berturap yang lebih baik, sekali gus memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.
Katanya, kerja-kerja di tapak kini mencatat kemajuan sebanyak 4.6 peratus dan melibatkan pelbagai komponen teknikal termasuk kerja penanaman cerucuk serta pembinaan pembentung bagi memastikan struktur jalan lebih kukuh dan tahan lama.
Beliau berkata, fasa pertama projek berkenaan disiapkan sebelum kerja bagi fasa kedua diteruskan bagi melengkapkan keseluruhan laluan yang diperlukan penduduk di kawasan Ulu Entabai.
“Apabila siap sepenuhnya kelak, jalan ini dijangka memberi perubahan besar kepada kehidupan penduduk, khususnya dari aspek kemudahan perhubungan, pergerakan harian dan pembangunan ekonomi setempat,” katanya.
Rolland berkata, projek berkenaan turut menggunakan teknologi pembinaan baharu dikenali sebagai CIGR yang dijangka mampu meningkatkan ketahanan permukaan jalan untuk tempoh yang panjang berdasarkan penilaian teknikal.
Katanya, kemudahan jalan yang lebih baik akan membuka peluang kepada penduduk mengembangkan aktiviti pertanian dan meningkatkan hasil ekonomi, terutama dalam sektor tanaman kelapa sawit, lada serta tanaman lain yang berpotensi diusahakan.
“Antara tanaman yang boleh dikembangkan termasuk nanas varieti baharu yang sering disyorkan kerajaan negeri, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada penduduk untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.
Projek berkenaan turut membabitkan pengambilan tanah seluas kira-kira 40.3 hektar dengan seramai 20 penerima menerima pampasan berjumlah RM911,846.40.






