KUCHING: Status permohonan penyandang Batu Lintang, See Chee How untuk menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) serta kemungkinan dicalonkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 bergantung kepada keputusan akhir Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Presiden SUPP Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, perkara itu susulan semua parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah menyerahkan senarai calon masing-masing dengan mandat memuktamadkan keputusan terpulang kepada Abang Johari selaku Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Semua calon GPS sudah dibincangkan dalam mesyuarat bersama presiden empat parti komponen dan kita sudah bersetuju keputusan akhir terletak pada Premier kerana beliau yang akan menandatangani watikah.
“Kita sudah menyerahkan senarai nama. Sehingga Premier mengeluarkan watikah, tidak banyak gunanya kita bercakap mengenai siapa calon,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong di sini, hari ini.
Ditanya secara khusus permohonan See menyertai SUPP, beliau berkata parti akan melihat semula perkara itu selepas mendapat petunjuk keputusan calon daripada Abang Johari.
“Apabila Premier membuat keputusan, kita akan kembali berbincang dalam parti. Kalau kita buat keputusan lebih awal tetapi watikah akhirnya diberikan kepada orang lain, ia tidak menyelesaikan apa-apa,” ujarnya.
See mengemukakan permohonan menyertai SUPP pada 27 Oktober lalu, sehari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Borang permohonan itu masih belum diluluskan dan perlu dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat SUPP.
Dr. Sim menegaskan, proses penentuan calon perlu dihormati kerana perubahan masih boleh berlaku sehingga watikah rasmi dikeluarkan.
Beliau secara berseloroh mengingatkan bakal calon supaya tidak terlalu awal mencetak poster atau baju kempen kerana nama atau kerusi boleh berubah pada saat akhir.




