KUCHING: Walaupun suspek utama kejadian batu terbang sudah ditahan, kejadian seumpamanya di Jalan Batu Kawa masih berlaku.

Menurut kenyataan Pengerusi MPP, Tan Kai, dalam usaha menangani ancaman keselamatan yang membimbangkan penduduk, kamera litar tertutup (CCTV) pertama berkuasa solar dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) telah berjaya dipasang hari ini.
“Pemasangan tersebut adalah hasil usaha bersama Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor CCTV dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SMA) yang berganding bahu dalam tempoh beberapa hari lalu bagi mencari penyelesaian segera.
“Apa yang kita capai hari ini adalah hasil kerjasama, bukan saling menyalahkan atau mengejar publisiti. Ini bukti bahawa semua boleh membantu,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PDRM Padawan atas tindakan pantas, kontraktor CCTV yang menyumbangkan peralatan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), SMA yang meluluskan pengecualian lesen khas atas faktor kecemasan serta JKR yang memudahkan kerja-kerja teknikal pemasangan.
“Kamera AI berkuasa solar yang dipasang itu mampu beroperasi secara automatik, mengesan pergerakan mencurigakan dan merakam bukti secara langsung – satu kelebihan penting dalam usaha menjejak pelaku sebenar atau sebarang insiden yang berlaku.
“Langkah ini diharap menjadi permulaan kepada pemantauan yang lebih berkesan. Misi kita satu – menjadikan kawasan ini lebih selamat dan terjamin,” tambah beliau.
Insiden batu terbang di laluan tersebut mencetuskan keresahan dalam kalangan pengguna jalan raya sejak beberapa minggu lalu, termasuk laporan kerosakan kenderaan dan risiko kecederaan.
Dengan pemasangan awal ini, MPP berharap lebih banyak lokasi berisiko tinggi di kawasan pentadbirannya dapat dilengkapi sistem pemantauan pintar dalam masa terdekat.
Orang ramai juga diseru untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dan bersama-sama memainkan peranan dalam menjaga keselamatan komuniti.

