ARTIKEL

(Dari kanan) Cef Iana Akam bersama rakan sepasukan menunjukkan pingat yang dimenangi selepas berjaya meraih kejayaan dalam pertandingan Masterchef of Foodex 2026 di Kota Ho Chi Minh, Vietnam.

Cef Iana Akam angkat warisan kulinari di pentas antarabangsa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ASYIQIN OTHMAN (PELATIH UiTM)

KUCHING: Hidangan Laksa Sarawak hasil sentuhan kreatif Cef Iana Akam dari Fairy Tavern berjaya meraih emas dalam kategori mi di pertandingan Masterchef of Foodex 2026, sekali gus mengangkat warisan kulinari negeri ke pentas antarabangsa.

Beliau berkata, kejayaan tersebut terhasil daripada gabungan bahan tempatan Sarawak dengan elemen antarabangsa, termasuk menggunakan udang galah yang diperoleh dari Vietnam.

“Kami menggunakan bahan tempatan dari Sarawak dan menggabungkannya dengan bahan-bahan yang ada di Vietnam seperti udang galah,” katanya pada sidang media MasterChef of Foodex 2026 di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini, hari ini.

Menurutnya, hidangan yang dihasilkan merupakan interpretasi moden Laksa Sarawak tanpa mengabaikan identiti asalnya sebagai makanan tradisional.

Julian Lai

“Hidangan tersebut menampilkan bihun sebagai komponen utama, dipadankan dengan kuah laksa yang dihasilkan daripada pes rempah, santan dan stok ayam, sekali gus menghasilkan rasa yang seimbang antara pedas, berkrim dan segar.

“Kombinasi isi ayam lembut, udang galah segar serta hiasan tradisional memberikan lapisan tekstur dan rasa yang kompleks, sambil mengekalkan keaslian hidangan.

“Ia disusun dengan teliti bagi memastikan persembahan yang kemas dan menarik, menjadikannya sesuai sebagai hidangan utama dalam suasana ‘fine dining’ dan pertandingan,” jelasnya.

lana turut menegaskan bahawa penyertaan hidangan tersebut di peringkat antarabangsa bertujuan memperkenalkan kepelbagaian makanan serta warisan budaya Sarawak kepada masyarakat global.

“Laksa Sarawak sering menjadi pilihan utama pelancong dan merupakan antara identiti gastronomi negeri, selari dengan pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO,” ujarnya.

Sementara itu, Cef Julian Lai dari Little Hainan Restaurant menjelaskan keunikan Laksa Sarawak terletak pada penggunaan pes khas yang mengandungi sekitar 30 hingga 40 jenis bahan.

“Laksa Sarawak sangat unik kerana penggunaan pes khas. Tanpa pes ini, kita tidak boleh menghasilkan laksa tersebut.

“Ini adalah berbeza dengan laksa di Semenanjung yang hanya menggunakan kuah ikan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa pes laksa perlu dibawa ke setiap pertandingan antarabangsa bagi memastikan keaslian rasa Laksa Sarawak dapat dikekalkan.

Kejayaan ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam mempromosikan masakan tempatan ke peringkat global, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi gastronomi yang berpotensi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU