KUCHING: Kejayaan cef Sarawak yang meraih anugerah dalam pelbagai kategori di MasterChef of Foodex 2026 membuktikan hidangan warisan tempatan mampu menawan pentas antarabangsa melalui keaslian rasa serta identiti budaya tersendiri.
Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, pencapaian cemerlang pasukan Cef Sarawak di Kota Ho Chi Minh, Vietnam sekali lagi mengangkat reputasi Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO yang mempertemukan tradisi dan inovasi.
“Prestasi pasukan Sarawak menjadi bukti kepada dedikasi, kreativiti dan profesionalisme cef yang masing-masing membawa identiti tersendiri mengangkat warisan kulinari Sarawak,” katanya pada sidang media MasterChef of Foodex 2026 di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini, hari ini.
Menurutnya, Cef Iana Akam dari Fairy Tavern mempamerkan prestasi cemerlang apabila meraih emas dalam kategori mi menerusi laksa Sarawak yang dipersembahkan dengan penuh kehalusan, memukau juri melalui keaslian rasa dan budaya.
“Cef Janncy Nyohim yang juga dari Fairy Tavern pula menunjukkan kreativiti dan inovasi dalam kategori nasi, meraih gangsa menerusi interpretasi moden nasi lemak yang dipersembahkan dengan bunga kantan serta penggunaan beras merah Bidayuh serta beras Bario.

“Mewakili Little Fairy Cafe, Cef Robbie Richard Balcarek dan Cef Nicky Nelson turut mencatat kejayaan membanggakan. Nicky meraih perak dalam kategori mi melalui hidangan mi bihun beras bersama sup ayam terung asam – menyerlahkan ketelitian teknik dan identiti serantau.
“Robbie pula meraih perak dalam kategori nasi dengan hidangan istimewa Nasi Goreng Daun Ubi dihidangkan bersama tempoyak, sambal terung asam dan ikan terubok – menampilkan gabungan bahan warisan Sarawak yang berani namun seimbang,” jelasnya.
Beliau menambah, dalam kategori pasukan kebangsaan, Iana, Janncy dan Robbie berganding bahu meraih perak melalui persembahan menu yang padu, memikat juri dengan pendekatan inovatif dalam mengangkat bahan-bahan Borneo ke dalam ekspresi kulinari kontemporari.
“Dari Xian Corner, Cef Benny Huang turut mencatat prestasi memberangsangkan dalam kategori makanan laut dengan meraih perak melalui hidangan yang memperlihatkan teknik halus dan ketepatan rasa.
“Bersama beliau, Cef Wilson Voon dari Fish Buddy & Aquarium Cafe juga meraih perak dalam kategori sama, kedua-dua cef mempamerkan kemahiran luar biasa serta keunggulan di pentas antarabangsa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya, mewakili REGAL Hainanese Chicken Rice, Cef Ronald Bong menunjukkan kepelbagaian dan ketahanan yang mengagumkan apabila meraih gangsa dalam kategori makanan laut.
“Kejayaan ini diikuti pencapaian meraih perak dalam kategori ayam, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai peserta yang serba boleh dan berdaya saing tinggi,” katanya.
Wee menambah, selain kejayaan peserta, Kuching turut diwakili di peringkat panel juri antarabangsa apabila Cef Jordan Wee dari Jordan’s Signature dan Cef Julian Lai dari Little Hainan Restaurant berjaya dilantik sebagai juri pertandingan.
“Ini merupakan satu pengiktirafan terhadap tahap kepercayaan dan pengiktirafan tinggi terhadap profesional kulinari Sarawak,” jelasnya.
Julian berkata, acara berprestij tersebut merupakan acara antarabangsa tahunan dalam industri makanan dan minuman (F&B) serta pameran terbesar di Vietnam dengan kehadiran antara 18,000 hingga 20,000 pengunjung.
Beliau menambah, edisi tahun ini menampilkan tiga kategori utama pertandingan iaitu hot cooking, bakeri dan barista, dengan penyertaan keseluruhan seramai 400 peserta merangkumi 300 peserta tempatan Vietnam dan 100 peserta antarabangsa.
“Pada masa sama, acara tersebut turut mencatat kejayaan dalam percubaan Rekod Dunia Guinness bagi paparan kek jeli 3D terbesar dengan jumlah 1,191 unit,” jelasnya.

