ARTIKEL

Mark Nyambang, Pengarah dan penerbit dokumentari CEKAL – Kisah Bonnie Bunyau Gustin: Demi Keluarga, Demi Negara. Foto Ramidi Subari

CEKAL Tersenarai Lima Dokumentari Terbaik FFM35

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dokumentari CEKAL: Kisah Bonnie Bunyau Gustin bukan sekadar mengangkat kejayaan jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, sebaliknya turut menyorot hubungan erat antara seorang anak dengan bapanya yang menjadi dorongan di sebalik perjalanan hidup atlet itu.

Pengarah merangkap penerbitnya, Mark Nyambang berkata, dokumentari itu mengetengahkan janji Bonnie kepada bapanya untuk membuktikan bahawa keputusan meninggalkan alam persekolahan pada usia muda bagi memberi tumpuan kepada sukan bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Menurutnya, Bonnie berusaha bersungguh-sungguh dalam sukan powerlifting bagi memenuhi janji tersebut sehingga akhirnya berjaya membuktikan kemampuannya.

“Kalau kita melihat dengan lebih mendalam, dokumentari ini bukan sahaja sebuah dokumentari sukan, tetapi turut mengisahkan hubungan antara anak dengan ayah.

Bapa Bonnie Bunyau, Gustin Jenang (kanan) dan ibu Evylen Gelegar (kiri). Foto Ramidi Subari

“Bonnie sebagai seorang anak berusaha sedaya upaya untuk memenuhi janjinya kepada bapanya selepas meninggalkan alam persekolahan pada usia muda bagi menceburi sukan powerlifting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan dan Apresiasi dokumentari CEKAL: Kisah Bonnie Bunyau Gustin bersempena Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Muzium Kebudayaan Borneo, di sini hari ini.

Dokumentari terbitan Kayu Malam Production Sdn Bhd itu dibiayai menerusi geran Dana Kandungan Kenegaraan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Dihasilkan pada 2026, dokumentari berkenaan mula ditayangkan menerusi TVS pada 22 Julai lalu, bersempena sambutan Hari Sarawak.

Karya itu diterbitkan oleh Mark Nyambang dan Zafirah Abdul Rahman, manakala pengarahan dikendalikan Mark bersama Lourdes Gason.

Lebih membanggakan, CEKAL: Kisah Bonnie Bunyau Gustin berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima dokumentari terbaik yang dicalonkan bagi kategori Dokumentari FFM35.

Pasukan produksi dan individu yang terlibat dalam penerbitan dokumentari CEKAL
– Kisah Bonnie Bunyau Gustin: Demi Keluarga, Demi Negara. Foto Ramidi Subari

Mark berkata, pengiktirafan itu amat bermakna kepada pasukan produksi, meskipun mereka menyedari persaingan daripada karya dokumentari lain yang turut mempunyai kelebihan tersendiri.

“Kami amat gembira apabila CEKAL berjaya dipilih dalam kelompok lima terbaik bagi kategori Dokumentari FFM35.

“Kami berharap yang terbaik untuk dokumentari ini dan bagi kami, berjaya berada dalam kelompok lima terbaik pun sudah satu kemenangan,” katanya.

Mengulas perkembangan penghasilan dokumentari di Sarawak, beliau berkata, semakin banyak karya berkualiti dihasilkan anak muda tempatan, termasuk yang disiarkan menerusi platform penyiaran seperti TVS.

Justeru, beliau berharap lebih banyak peluang dan platform diberikan kepada penggiat seni muda tempatan untuk menghasilkan karya yang mampu mengangkat kisah serta pencapaian anak Sarawak.

Menurutnya, bakat anak muda tempatan berpotensi berkembang sekiranya mereka diberikan ruang dan sokongan sewajarnya untuk berkarya.

Dari segi penerbitan, Mark berkata, proses penggambaran dokumentari itu mengambil masa kira-kira tiga bulan, diikuti empat bulan bagi kerja pascaproduksi.

Secara keseluruhan, proses pra-produksi, produksi dan pascaproduksi mengambil masa hampir setahun sebelum dokumentari itu ditayangkan kepada penonton.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU