ARTIKEL

Shiraz ketika sesi perkongsian APACE

CENTEX galak wanita sertai latihan teknikal aeroangkasa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Peningkatan penyertaan wanita dalam latihan teknikal penerbangan kini muncul sebagai satu trend ketara di Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEX) khususnya dalam program pemesinan dan Kawalan Berangka Komputer (CNC).

Pemangku Jurulatih Kanan bagi Akademi Aeroangkasa, Digital dan Tenaga Hijau CENTEX, Shiraz Yazmine Khir, berkata, trend ini sekali gus menandakan perubahan beransur-ansur dalam representasi jantina dalam sektor aeroangkasa dan pembuatan.

“Semakin ramai wanita mendaftar dalam program teknikal berasaskan amali yang sebelum ini didominasi golongan lelaki.

“Bagi program pemesinan dan CNC, kita melihat ramai wanita mengendalikan mesin serta membina komponen pesawat,” katanya semasa sesi perkongsian yang diadakan bersempena Persidangan dan Pameran Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu (28 Januari).

Shiraz mengakui bahawa walaupun peranan teknikal dalam penyelenggaraan dan pembuatan aeroangkasa sering dianggap memerlukan kekuatan fizikal, pelatih wanita telah membuktikan keupayaan serta minat yang tinggi dalam bidang tersebut.

“Persepsi industri masih menjadi cabaran, apabila sesetengah majikan masih teragak-agak untuk mengambil wanita bagi jawatan teknikal berikutan kebimbangan terhadap tuntutan fizikal pekerjaan.

“Lelaki biasanya diterima tanpa banyak persoalan, namun masih terdapat keraguan apabila melibatkan pengambilan wanita, walaupun mereka sebenarnya mampu melaksanakan tugas berkenaan,” katanya.

Namun begitu, Shiraz berkata CENTEX terus menggalakkan penyertaan wanita dengan menyediakan latihan berasaskan industri dan amali yang menyeluruh bagi memastikan graduan bersedia menghadapi persekitaran kerja sebenar.

Menurutnya, program aeroangkasa di CENTEX dibangunkan selaras dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi hab penerbangan menjelang 2030 seperti yang digariskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dengan penekanan kepada pembangunan tenaga kerja mahir dan inklusif.

Akademi Aeroangkasa CENTEX yang beroperasi di Lundu menawarkan enam program berkaitan aeroangkasa, merangkumi tiga program pembuatan dan tiga program Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO), yang kesemuanya dibangunkan melalui kerjasama dengan rakan industri.

Sebagai sebahagian daripada kemudahan latihan, dua buah pesawat yang dipinjamkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditempatkan di CENTEX Lundu dan digunakan bagi tujuan pameran serta latihan, sekali gus memberi pendedahan awal kepada pelajar terhadap pesawat sebenar.

Shiraz berkata pelajar yang berjaya menamatkan program akan menerima pensijilan industri selain kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), dengan laluan kerjaya yang jelas daripada juruteknik kepada jurutera pesawat.

Beliau turut memaklumkan bahawa CENTEX menjamin penempatan pekerjaan kepada pelajar yang kompeten dan lulus program, dengan rakan industri memantau pelatih sepanjang tempoh pengajian serta menawarkan pekerjaan selepas tamat latihan.

“Dengan membuka lebih banyak peluang kepada wanita dalam bidang pemesinan dan pembuatan aeroangkasa, kita bukan sahaja memenuhi keperluan industri, malah memperluas laluan kerjaya teknikal untuk wanita Sarawak,” katanya.

Beliau menambah, kelas teori dijalankan di CENTEX Lundu, manakala latihan amali dilaksanakan di Subang, Selangor, di mana pelajar bekerja di hangar sebenar menggunakan pesawat sebenar, lengkap dengan penyediaan penginapan, makanan dan pengangkutan.

Sesi perkongsian tersebut merupakan sebahagian daripada penganjuran APACE 2026 yang berlangsung dari 27 hingga 29 Januari.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU