DALAT: Dengan kos pembangunan RM40 juta, kampus baharu CENTEXS Dalat kini rasmi beroperasi, menggantikan pusat latihan sementara yang digunakan sejak 2019, serta menawarkan 16 program latihan bersama pensijilan CENTEXS dan pengiktirafan antarabangsa.
Majlis perasmian kampus baharu itu disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sekali gus menzahirkan komitmen kerajaan negeri memperkukuh pembangunan modal insan dan kemahiran selaras dengan transformasi sosioekonomi Sarawak.
Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata antara program yang ditawarkan termasuk Sijil Profesional dalam Teknologi Fesyen (Asas) dengan pensijilan daripada Institut Kecemerlangan Perniagaan (IBE) UiTM dan The Textile Institute (TTI), United Kingdom.
“Selain itu, turut disediakan Sijil Latihan Penjaga Warga Emas (TREC) dengan pensijilan Universiti Global Pembelajaran Sepanjang Hayat (GULL), Amerika Syarikat; Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3; Sijil Pembinaan Bot Fiberglass dengan pensijilan Qualify United Kingdom; serta tiga program bahasa merangkumi Bahasa Inggeris, Melanau dan Mandarin,” katanya.
Menurut beliau, kemahiran teknologi seperti elektrik, asas fesyen, wireman, makanan dan kulinari serta pemasaran digital sangat diperlukan bagi menyokong industri tempatan di Dalat dan kawasan sekitar.
Beliau berkata program penjagaan warga emas turut diberi keutamaan memandangkan Sarawak akan menjadi negeri menua menjelang 2028 apabila dianggarkan 16 peratus daripada 2.8 juta penduduknya terdiri daripada warga emas.
“Di Sarawak, nelayan berdaftar sehingga 2024 di Jabatan Perikanan Laut berjumlah 10,828 orang.
“Kira-kira 30 peratus daripada mereka menggunakan bot fiberglass dan penggunaannya semakin meningkat. Oleh itu, Sijil Pembinaan Bot Fiberglass amat diperlukan untuk komuniti nelayan di Dalat dan kawasan sekitarnya,” jelasnya.
Pada masa sama, katanya, CENTEXS kini mempunyai enam kampus di seluruh Sarawak, iaitu di Kuching, Lundu, Betong, Lawas, Mukah dan Dalat serta tidak lama lagi kampus baharu di Betong.
Setiap kampus mempunyai fokus bidang masing-masing.
“CENTEXS Mukah merangkumi keperluan industri di kawasan Mukah, Bintulu dan Miri dengan pengkhususan dalam minyak dan gas, sektor pertanian serta akademi tenaga hijau dan digital.
“Setakat ini, jumlah pelajar di CENTEXS Mukah yang telah mengikuti program-program tersebut adalah seramai 2,044. Manakala CENTEXS Dalat memenuhi keperluan industri di kawasan Dalat, Matu, Daro, Kapit, Sibu, Sarikei dan Tanjung Manis,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa CENTEXS Dalat dilengkapi 10 bilik kuliah, empat bengkel, dua bilik seminar serta asrama untuk kapasiti 200 pelajar.
“Kampus ini juga mempunyai lima blok makmal merangkumi teknologi kimpalan, elektrik, digital, fesyen dan pusat bahasa, selain kafeteria, surau, dewan serbaguna, bangunan pentadbiran serta pondok pengawal,” katanya.








