ARTIKEL

Roland Sagah ketika membacakan teks ucapan Premier.

CENTEXS hasilkan 26,063 graduan sejak 2015

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sejak konvokesyen pertamanya pada 2015, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) telah berkembang menjadi institusi utama dalam pembangunan modal insan Sarawak dengan 26,063 graduan dihasilkan, termasuk 2,496 graduan yang dikurniakan sijil kompetensi berasaskan industri pada Majlis Konvokesyen ke-10 tahun ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata CENTEXS merupakan tunjang utama pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi sektor baharu.

“Hari ini merupakan hari yang amat bermakna untuk graduan kita dan CENTEXS telah terbukti menghasilkan graduan yang bersedia untuk bekerja, dengan kemahiran yang diperlukan oleh majikan dalam pelbagai sektor industri.

“Ini termasuk bidang semikonduktor, aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui, tenaga hijau dan ekonomi kitar semula,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, di Dewan Serbaguna CENTEXS Kuching di sini hari ini.

Selain itu, katanya, CENTEXS turut bekerjasama dengan Sarawak Microelectronics Design (SMD) untuk melahirkan 500 jurutera semikonduktor berkemahiran tinggi menjelang 2030, termasuk pembangunan cip berasaskan AI KETEQ.

“Akademi Aeroangkasa CENTEXS Lundu pula kini melahirkan graduan pertama dalam bidang aeroangkasa, dron, satelit dan perkhidmatan MRO.

“Pengembangan kampus CENTEXS di Lawas dan Dalat juga membuka peluang latihan berteknologi tinggi kepada komuniti luar bandar, menyokong pembangunan tenaga kerja dalam hidrogen, biojisim, grid elektrik, tenaga hijau dan teknologi hijau lain,” ujarnya.

Abang Johari turut menekankan agar graduan menggunakan kemahiran yang diperoleh untuk berinovasi, memelihara alam sekitar dan memacu ekonomi negeri, sambil menegaskan sokongan berterusan Kerajaan Sarawak kepada CENTEXS.

Majlis konvokesyen yang berlangsung selama empat hari dari 10 hingga 13 Februari menyaksikan graduan daripada Industry and ESG Academy (IESGA) dan Aerospace, Digital and Green Energy Academy (ADGEA) menerima sijil masing-masing.

Daripada 2,496 graduan kali ini, 346 adalah pelajar dari Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala 2,150 lagi dari Sarawak, menunjukkan pengaruh CENTEXS yang semakin meluas di peringkat nasional.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak melaksanakan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) bagi membolehkan Anak Sarawak melanjutkan pengajian di universiti milik negeri tanpa bayaran yuran, khususnya dalam program STEM dan profesional, selaras dengan aspirasi Sarawak Maju 2030.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee; Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani; dan Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Datuk Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU