LUNDU: Centexs Lundu melakar sejarah dalam sektor pendidikan teknikal apabila memperkenalkan Akademi Aeroangkasa, program inovatif yang bakal menjadi batu loncatan untuk anak-anak Sarawak mengejar impian dalam bidang aeroangkasa.
Menurut Ketua Kampus Centexs Lundu, Dr Nor Ashikin Abdul Rahman, akademi ini menawarkan lima kursus perintis yang disesuaikan dengan keperluan industri semasa.

Antara kursus tersebut ialah Certificate in Aerospace Sheet Metal, Certificate in Aerospace Machining Operations, Certificate in Aircraft Maintenance Engineering (Aeroplane Turbine), Certificate in Aircraft Maintenance Engineering (Helicopter Turbine) dan Certificate in Aircraft Maintenance Engineering (Avionics).

“Kami tidak sekadar memperkenalkan program yang gah dari segi nama, tetapi kursus ini benar-benar memberi peluang luar biasa kepada belia Sarawak melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, daripada penyelenggaraan pesawat hingga teknologi satelit dan kapal angkasa,” ujar beliau.
Di samping itu, ujar beliau pelancaran Akademi Aeroangkasa pada Oktober 2024 mendapat sambutan luar biasa dengan lebih 200 permohonan diterima dalam tempoh seminggu.


Namun, menurut beliau, hanya 100 pelajar dipilih untuk pengambilan pertama bagi memastikan kualiti pengajaran terjaga.
“Kami tidak mahu sekadar tangkap muat. Pelajar yang diterima perlu bersedia dari segi fizikal, mental dan penguasaan asas seperti bahasa Inggeris dan matematik. Ini penting kerana industri ini menuntut kemahiran tinggi, khususnya untuk bekerja di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Dr Nor Ashikin optimis graduan dari Akademi Aeroangkasa ini menjadi rebutan di pasaran kerja, bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Kita lihat peluang pekerjaan sangat cerah, terutama di Timur Tengah dan syarikat penerbangan global.
“Selain itu, langkah Kerajaan Negeri menubuhkan syarikat penerbangan Sarawak membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama-sama Suara Sarawak dan Sarawak Tribune di Pejabat, Centexs Lundu pada Khamis.
Tambah beliau, walaupun masih di peringkat awal, Centexs Lundu mampu menarik minat pelajar dari seluruh Sarawak, termasuk kawasan terpencil seperti Miri dan Long Semadoh.
Dengan fokus kepada keberhasilan graduan, Nor Ashikin yakin akademi ini mampu memberi impak kepada pembangunan modal insan di Sarawak.
“Kami akan memastikan setiap graduan berjaya dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang. Kejayaan mereka jadi bukti program ini mampu mengubah masa depan belia Sarawak,” jelas beliau.
Dengan inisiatif ini, Centexs Lundu sekali lagi membuktikan komitmen mereka dalam menawarkan program yang relevan dan berimpak tinggi demi memacu kemajuan negeri Sarawak dalam bidang teknologi dan aeroangkasa.



