ARTIKEL

Cerita dari dapur

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KALAU ditanya tentang kos sara hidup, saya tidak pandai bercakap berdasarkan angka besar atau istilah ekonomi.

Saya cuma tahu satu perkara, setiap hari di dapur saya, semuanya semakin terasa mahal.

Pergi ke pasar sekarang bukan lagi macam dulu.

Dulu boleh ambil saja apa-apa yang diingini.

Nampak segar, terus masuk bakul.

Sekarang tidak lagi.

Pegang barang, tengok harga, letak balik.

Fikir dulu.

Kadang-kadang sampai dua tiga kali pusing baru buat keputusan.

Sebenarnya, sikap ini memang sudah lama ada dalam diri seorang suri rumah, mahu pilih yang terbaik untuk keluarga.

Cuma bezanya sekarang, kita bukan sahaja memilih kualiti tetapi juga bergelut dengan harga.

Saya selalu mengalami satu situasi yang buat saya betul-betul berfikir.

Masak atau beli lauk siap?

Semalam pun, saya malas hendak masak dan melangkah keluar memandu ke kedai makan.

Badan agak penat, fikiran pun letih.

Dapur rasa berat hendak hadap.

Kupas bawang, basuh pinggan, lap dapur… banyak kerja pada hari hendak bermalasan!

Saya beli lauk siap, tiga ketul ayam goreng, sayur rebung masak lemak dan ulam-ulaman.

Harga RM15.

Masa bayar, rasa macam berbaloi, agak murah juga.

Tidak perlu masak, tidak perlu basuh banyak pinggan, semuanya siap.

Tapi dalam masa yang sama, saya singgah beli bahan mentah untuk esok atau lusa.

Sotong, udang, ikan dan tembikai belah dua saya ambil satu.

Semua sekali RM49.00.

Balik rumah, saya termenung sekejap.

Lauk RM15 tadi tidak habis untuk sekali makan.

Senang, cepat, tidak pening kepala.

Tapi RM49 pula boleh masak untuk makan beberapa kali. Boleh pusing-pusing menu.

Hari ini goreng, esok masak kicap, lusa buat udang rebus.

Di situlah saya mula tanya diri sendiri, mana sebenarnya lebih jimat, lebih-lebih lagi apabila kami cuma berdua di rumah?

Ternyata, jawapannya tidak semudah ya atau tidak.

Kalau ikut kiraan, memang masak sendiri lebih jimat.

Bahan mentah boleh tahan beberapa hari dan boleh diolah macam-macam.

Tapi realitinya, suri rumah cuma insan biasa terutamanya yang ada kerja.

Ada hari kami penat.

Ada hari kami malas.

Ada hari kita cuma mahu berehat tanpa perlu fikir apa yang hendak dimasak.

Jadi, waktu itu juga saya fikir, beli lauk siap bukan pembaziran.

Itu penyelamat.

Saya cuba seimbangkan.

Kalau rajin, saya masak.

Saya beli bahan sikit-sikit, cukup untuk dua atau tiga kali makan.

Saya rancang menu supaya tidak membazir.

Contohnya, kalau beli ayam, saya fikir terus hari ini masak kari, esok buat sup.

Lebihan lauk pula saya tidak buang.

Saya simpan di dalam peti sejuk, esok boleh panaskan balik.

Kadang-kadang, lauk semalam rasa lagi sedap apabila dipanaskan semula.

Itu pun satu cara berjimat tanpa kita sedar.

Sejak kebelakangan ini, saya juga mula ubah cara membeli.

Saya pilih yang benar-benar perlu.

Beli ikut keperluan, bukan ikut nafsu.

Sebab kadang-kadang beli banyak tapi tidak sempat guna, akhirnya rosak dan dibuang.

Itu sebenarnya lebih rugi.

Suri rumah harus merancang bajet dapur setiap minggu.

Walaupun tidak terlalu ketat, sekurang-kurangnya ada panduan.

Contohnya, asingkan sedikit untuk barang dapur, sedikit untuk lauk dan sedikit untuk keperluan tidak dijangka.

Apabila ada had, kita lebih sedar setiap kali hendak berbelanja.

Kadang-kadang kita boleh catat apa-apa yang sudah dibelanjakan.

Bukan kerana terlalu berkira tetapi supaya tahu ke mana wang itu pergi.

Rupanya banyak juga kebocoran kecil yang tidak kita sedar.

Biasanya jumlah bocor RM5 di sini, RM10 di sana, lama-lama menjadi jumlah besar juga.

Kalau betul-betul letih, suri rumah boleh membeli saja lauk siap tetapi cuba kawal, jangan selalu.

Selain soal duit, kita juga fikir tentang kebersihan dan kesihatan.

Kita tidak tahu bagaimana makanan itu disediakan.

Jadi, biasakan diri membeli di kedai yang biasa kita pergi atau yang sudah dikenali.

Perkara kecil seperti ini sebenarnya banyak membantu.

Tidak terasa hari ke hari, tapi apabila hujung bulan, kita nampak bezanya.

Duit mungkin tidak bertambah, tapi sekurangkurangnya tidak cepat habis.

Saya sedar kerajaan sentiasa ada usaha untuk membantu rakyat.

Bantuan demi bantuan diumumkan.

Tapi di rumah, kami juga kena pandai urus sendiri.

Tidak boleh bergantung sepenuhnya.

Dapur tetap kena berasap, keluarga tetap kena makan, terutamanya apabila anak-anak balik dari kolej atau berkumpul di rumah.

Kadang-kadang saya terfikir juga tentang mereka yang mempunyai ramai anak, lebih-lebih lagi yang masih kecil.

Bagaimana mereka urus dapur setiap hari?

Dengan harga sekarang, pasti lebih mencabar, terutama bagi yang kais pagi makan pagi, pasti terasa peritnya.

Saya bayangkan mereka juga penat.

Fikir duit, fikir makan, fikir cukup atau tidak.

Tapi saya percaya, sebagai suri rumah, mereka tetap teruskan juga.

Mereka cari jalan.

Mereka ubah cara.

Mereka berjimat di sana sini, asalkan keluarga tidak terputus makan.

Kadang-kadang apabila bijak urus dapur, sedikit demi sedikit kami juga belajar urus emosi.

Tidak terlalu tertekan, tidak terlalu panik apabila hujung bulan.

Kami jadi lebih tenang kerana tahu sudah melakukan yang terbaik menjaga perut keluarga kami.

Itulah kekuatan seorang suri rumah yang mungkin tidak semua orang nampak.

Sebab akhirnya, kami bukan minta hidup mewah pun.

Tidak perlu yang mahal-mahal.

Cukup kalau dapur berasap, makanan ada di atas meja, dan hati tidak terlalu risau setiap kali membuka dompet.

Kebahagiaan itu kadang-kadang sangat sederhana.

Dengar bunyi kuali di dapur, hidang makanan untuk keluarga dan melihat semua makan dengan tenang.

Itu sudah cukup membuat hati rasa lega.

Jadi, kalau tanya saya sekarang mana lebih jimat?

Saya akan jawab, bukan soal masak atau beli.

Tetapi tentang bagaimana kita buat pilihan setiap hari, dengan apa-apa yang kita ada.

Dan di situlah sebenarnya terletaknya kebijaksanaan seorang suri rumah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU