ARTIKEL

Foto: Freepik

Cerita Disember di kampung

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DISEMBER sangat menggamit kenangan. Saya yakin, ramai yang melihat Disember bukan sekadar bulan terakhir setiap tahun, tetapi mempunyai nilai nostalgia kepada banyak orang, terutama bagi mereka yang datang dari kampung. Begitu juga saya.

Disember ialah bulan yang ditunggu-tunggu.

Bukan setakat bulan untuk bercuti panjang daripada persekolahan, malah bulan untuk balik ke Kampung Pendam (kini Sadong Jaya) dan Kampung Semera.

Seperti orang lain, ramai yang balik kampung pada hujung tahun.

Selain cuti sekolah panjang, Disember sangat sesuai setelah 11 bulan menabung untuk membeli tiket bas, tiket kapal terbang atau tiket bot ekspres untuk perjalanan balik kampung.

Bapa saya juga demikian.

Setiap Disember, bapa akan mengambil cuti paling kurang seminggu untuk balik ke kampung.

Kami sekeluarga balik ke kampung menggunakan bot ekspres dari pelabuhan di Pending ke jeti Kampung Pendam. Perjalanan sekitar setengah hari — dari rumah jam 6.00 pagi dan datang ke rumah datuk biasanya sekitar jam 2.00 petang.

Dari rumah guna bas, kemudian naik bot ekspres, tiba di jeti perlu lagi berjalan kaki hampir dua jam ke rumah datuk.

Berjalan kaki juga satu lagi cabaran. Mula-mula ada jalan simen, kemudian perlu menelusuri parit yang memisahkan kebun penduduk kampung.

Yang pasti, beg yang ringan akan terasa berat setelah melalui perjalanan yang panjang.

Dan, sebelum cabaran itu, biasanya akan merasai dilambung gelombang di lautan.

Sesuai dengan musim tengkujuh, dibadai gelombang bukan pilihan.

Bimbang di hati ibu dan bapa tiada siapa yang tahu.

Saya ada adik-adik biasanya akan diminta untuk tidur sepanjang perjalanan bagi mengurangkan ketakutan dilambung gelombang.

“Tidur agik.

Sik berasa gilak dilambung gelombang,” terang ibu kepada kami adik-beradik.

Jika diingat kembali, ia adalah pengalaman yang menyeronokkan walaupun membahayakan.

Nasib kami sebagai penumpang banyak bergantung kepada kemahiran pemandu mengendalikan bot ekspres ketika berdepan dengan gelombang besar.

Saat paling dinanti-nantikan adalah ketika bot ekspres sudah mula mendekati jeti Kampung Sebangan. Bermakna, tidak lama lagi akan sampai ke jeti Kampung Pendam.

Dan, paling bermakna ialah tidak lagi berdepan dengan gelombang besar. Tiba di jeti Kampung Pendam, orang pertama yang kelihatan biasanya Pak Usu dan datuk.

“Gine laut tek Ha? Besar gelombang?” tanya Pak Usu sambil kami bersalaman.

Sejak di jeti, Pak Usu ialah orang yang sentiasa dekat dengan saya sehingga saya kembali ke Kuching.

Ketika saya dilahirkan, Pak Usu pernah menganggap saya sebagai adik, sebab usia Pak Usu cuma tua dua tahun daripada saya.

Ketika musim tengkujuh, hujan yang berlarutan kadang-kadang kami anggap sebagai sesuatu yang indah ketika di kampung.

Ketika ini, air sungai dan parit akan naik. Ini kesempatan kami untuk bermainmain.

Biasanya kami menggunakan perahu kecil yang datuk buat sejak zaman ibu saya masih remaja lagi.

Hendak ke kebun memang tidak dapat sebab hari hujan, jadi kami fokus bermain air.

Dan, jika diminta oleh nenek untuk ke kedai, saya dan Pak Usu paling awal bersetuju. Kami akan pergi bersama-sama seorang saudara perempuan saya.

Ketika berperahu, Pak Usu di bahagian buritan, saudara saya pula di bahagian hadapan.

Saya pula duduk di tengah-tengah. Tugas saya? Membuang air yang masuk ke dalam perahu. Kami pernah karam, nasib baik tiada apa-apa yang berlaku.

“Mun rasa-rasa perahu nak karam, cepat terjun ke tebing sungai,” jelas Pak Usu setiap kali kami berperahu. Saya antara orang yang terawal melompat ke tebing sungai sambil beraut pada rumput panjang untuk menyelamatkan diri.

Pak Usu akan berpaut pada perahu untuk memastikan perahu tidak hanyut.

Semua ini tidak kami ceritakan kepada keluarga di rumah. Kalau tidak, rotan akan hinggap di punggung, dan tidak dapat lagi bermain menggunakan perahu keesokan harinya.

Perahu ini juga kami gunakan untuk memunggah buah kelapa tua dari kebun ke kawasan rumah. Kalau perahu tersekat, saya dan Pak Usu akan turun ke dalam parit menolak perahu tadi. Ini antara cerita yang tidak dapat saya lupakan setiap Disember sepanjang berada di kampung.

Setelah membesar, dan jalan raya sudah sampai di kaki rumah, tiada lagi pengalaman seperti ini.

Tiada lagi perlu berjalan kaki di dalam kebun untuk ke rumah datuk.

Hari ini, bergerak dari pagi ke kampung, tengah hari sudah berada di rumah kembali.

Perjalanan semakin singkat. Ini semua nikmat pembangunan yang memudahkan pergerakan.

Selepas menggunakan bot ekspres, kemudian menggunakan bas dan kini guna kereta sendiri ke kampung.

Tidak lama lagi akan menggunakan ART (Transit Aliran Automasi).

Walaupun pembangunan semakin moden dan pengangkutan semakin canggih, pengalaman sepanjang Disember di kampung tidak mungkin dilupakan.

Musim tengkujuh di kampung merupakan pengalaman berharga yang kini dikongsikan kepada anak-anak sebagai jalan cerita dijadikan pengajaran.

Mereka ingin merasai pengalaman itu, namun ia tidak mungkin berulang lagi.

Yang kekal, hanyalah momen penuh nostalgia dan iktibar pada masa depan.

Namun Disember itu bertandang setiap tahun dengan cerita berbeza. 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU