Cetus fenomena media sosial

KUCHING: Program realiti pertama di negeri ini Bakat Kamek berjaya membuktikan kebolehan belia di negeri ini dalam industri seni kreatif khususnya hiburan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Sabariah Putit menyatakan, kebolehan ini berjaya dibuktikan kerana sokongan padu diberikan oleh media dan agensi terlibat.

“Saya berasa terharu kerana program kali pertama dianjurkan ini mendapat sambutan yang begitu hangat dalam kalangan peminat muzik dan masyarakat di Sarawak.

“Ia juga berjaya kerana mendapat sokongan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Beliau memberikan mandat kepada pihak jawatankuasa dalam merealisasikan hasrat untuk memastikan industri kreatif ini ditonjolkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pertandingan Peringkat Akhir Bakat Kamek di Bangunan Dun Lama di sini, semalam.

Tambahnya, program tersebut juga berjaya dilaksanakan secara bersepadu antara Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dengan Oohhaa Muzik Sdn Bhd serta agensi yang lain yang dilantik. “Alhamdulillah.

Dengan sokongan diberikan semua pihak, ia membantu melonjakkan industri kreatif negeri ini.

“Kita berharap supaya semua pihak dapat melihat hasrat dan aspirasi anak muda diketengahkan melalui persembahan sebagai sokongan kepada usaha Kerajaan Sarawak,” jelasnya.

Dr Sabariah menzahirkan perasaan bangga terhadap peserta kerana dapat mengharungi perjalanan untuk bersama-sama bagi menjayakan program realiti pertama Sarawak itu.

“Saya yakin bakat yang ada termasuk peserta yang kali menyertai pertandingan ini mampu diketengahkan dan dikomersialkan pada masa akan datang,” ujarnya.

Katanya, program realiti itu juga menjadi fenomena dalam laman sosial sepanjang tempoh ia dilaksanakan.