KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Datuk Mohd Chee Kadir dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak mengambil langkah proaktif membantu penduduk di kawasan yang terjejas akibat musim kemarau dengan mengagihkan bantuan air minuman botol kepada kampung-kampung yang memerlukan pada petang tadi.
Penghantaran pertama bantuan air minuman botol telah dilaksanakan pada hari ini, melibatkan 900 kotak dan dikhaskan kepada penduduk Kampung Sungai Pala, Kabong.
Turut hadir dalam sesi penghantaran tersebut ialah Pegawai Tadbir Khas ADUN Kabong, Nur Elffi Amir bersama Juhayati Dahlan, Pembantu Tadbir Perkeranian Operasi (PTPO), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Saratok, serta beberapa orang Jawatankuasa Pergerakan Wanita PBB N.40 Kabong.
Jurucakap bagi sesi agihan, Nur Elffi Amir menjelaskan penghantaran bantuan seterusnya dijangka dilaksanakan esok (4 September), namun ia tertakluk kepada keadaan dan keupayaan logistik penghantaran memandangkan permintaan terhadap bekalan air mineral ketika ini amat tinggi.
“Pada masa yang sama terdapat beberapa permohonan bantuan air mineral daripada ketua-ketua kampung di sekitar Kabong yang telah dikemukakan melalui Pejabat Daerah Kabong kepada JKM Bahagian Betong untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Tambah Elffi, bantuan boleh melibatkan air minuman botol melalui PKMB, air keperluan harian melalui JBALB, atau kedua-duanya, sebelum agensi berkaitan mengambil tindakan dan bekalan disalurkan kepada penduduk yang terjejas.
Katanya, inisiatif JKM Sarawak ini diharap dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban penduduk yang berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air sepanjang musim kemarau.
Usaha tersebut turut berjalan seiring dengan tindakan JBALB yang menghantar air dengan lori tangki ke kawasan yang mengalami gangguan atau kekurangan bekalan air.
“Dalam perkembangan yang sama, permohonan daripada pihak Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) di kawasan DUN N.40 Kabong terus diterima dan diselaraskan setiap hari, dari pagi sehingga 6 petang, bagi memastikan keperluan penduduk dapat dikenal pasti dan tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Sementara itu, Mohd Chee sentiasa mengambil maklum perkembangan situasi semasa dan terus berhubung dengan pegawai Pusat Khidmat DUN N.40 Kabong, pihak JBALB, pihak JKM serta KMKK di kawasan DUN N.40 Kabong bagi memastikan isu bekalan air yang dihadapi penduduk mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya,” jelas Elffi.





