KUALA LUMPUR: Kepulangan Kim Jong-dae atau Chen ke Malaysia selepas hampir dua tahun melakukan persembahan di negara ini bukan sahaja mengubat rindu peminat, malah menghadiahkan malam penuh emosi menerusi konsert jelajah solo Arcadia yang berlangsung di sini pada Ahad malam.
Sejurus kemunculannya di pentas utama, sorakan gemuruh penonton bergema, membuktikan kunjungan semula anggota EXO itu amat dinantikan sejak persembahan pada 2024.
Konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu dimeriahkan dengan peminat yang rata-rata tampil dengan busana berona merah jambu, manakala segelintir yang lain anggun berbaju kurung bersempena sambutan Syawal, menjadikan malam itu bukan sahaja dipenuhi aura K-pop, tetapi juga sentuhan tempatan.
Chen membuka tirai persembahan dengan lagu hitnya ‘No Gravity’ sebelum meneruskan momentum dengan lagu ‘Fall in Love Again’ yang membuatkan dewan bergema dengan sorakan tanpa henti.
“Ayuh Kuala Lumpur, kita hingarkan malam ini! Dalam jelajah Arcadia ini, saya buat persembahan di pelbagai tempat dan setiap kali saya dengar sorakan kalian, saya rasa dihargai,” katanya.

Penyanyi berusia 34 tahun itu turut mengingatkan peminat bahawa kunjungannya kali ini bagi memenuhi janji untuk membuat persembahan dengan iringan “live band”.
“Terima kasih kerana menunggu,” katanya sebelum meneruskan persembahan dengan lagu ‘I Don’t Even Mind’.
Sepanjang hampir dua jam persembahan, Chen menyerlahkan kekuatan vokalnya yang konsisten, terutama ketika membawakan lagu balada penuh emosi seperti Deja-Vu, Arcadia, Best Luck dan Photograph, sekali gus membuatkan peminat bersorak tanpa henti.
Suasana di dalam dewan turut diwarnai ‘EXO lightstick’, menambahkan lagi kemeriahan konsert yang merupakan destinasi terakhir penyanyi itu dalam siri jelajahnya.
Bapa kepada dua cahaya mata itu juga bijak melayani peminat, malah sempat menghulurkan mikrofon kepada beberapa peminat bertuah untuk menyanyi bersama, mencetuskan sorakan lebih kuat daripada penonton lain yang turut merakam momen itu menggunakan telefon pintar masing-masing.
Chen juga sempat mencuit hati penonton apabila berseloroh bahawa beliau mungkin akan kehilangan suara selepas menyanyikan hampir 20 lagu malam itu.
“Walaupun saya mungkin hilang suara esok, saya tidak kisah. Saya benar-benar seronok bersama-sama dengan kalian malam ini,” katanya, disambut sorakan gemuruh peminat.– BERNAMA




