Cheng Ho temui dunia lama sebelum Columbus

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

Sejak kecil kita dididik bahawa Bartolomeu Dias (1450-1500) yang meninggalkan Portugal pada 1487 menjadi pelayar Eropah pertama yang tiba di Tanjung Pengharapan atau Cape of Good Hope, di selatan Afrika.

Kita juga diberitahu, Vasco da Gama (1469-1525) menjejaki pencapaian Dias 10 tahun kemudian. Malah beliau bergerak lebih jauh, menyeberangi Lautan Hindia ke India, sebelum menemui laluan rempah.

Kemudian pada 12 Oktober 1492, Christopher Columbus (1451-1506) menemui tanah Bahamas dan kemu- dian menjadi pelayar Eropah pertama yang kononnya, menemui dunia baharu. Beliau seterusnya melakukan tiga lagi pelayaran, sebelum bertemu Kepulauan Caribbean dan Amerika Tengah.

Jejak Columbus kemudian diikuti Ferdinand Magellan (1480-1521) yang kemudian mendapat kredit kerana menemui selat yang menghubungkan Lautan Atlantik dan Pasifik, yang kemudian dinamakan sempena namanya; Selat Magellan.

Kembara Magellan ada harganya ketika beliau meneruskan pelayarannya, kerana ketika kapalnya kembali ke Sepanyol, Magellan sendiri telah terbunuh lama sebelum itu, di Filipina pada 27 April 1521.

Namun tidak banyak yang tahu bahawa sebelum pelayar-pelayar Barat ini mencipta nama, seorang pelayar Islam berbangsa Cina lebih dahulu menakluki dunia. Lebih dahulu mengelilingi dunia.

Pelayaran Cheng Ho

Beliau ialah Cheng Ho. (1371-1435).

Cheng Ho dilahirkan di wilayah Bao San, Kunyang dan wilayah Yunnan. Moyangnya, Sayyid Syafii berstatus Duta Besar di Bukhara ketika China masih diperintah oleh Dinasti Yuan, atau bangsa Mongol.

Nasib Cheng Ho amat baik kerana setelah kampungnya ditawan tentera Ming ketika mereka menyerang kota Tatu (nama asal untuk Beijing), dia yang berusia 12 tahun dibawa ke Nanjing dan dijadikan pembantu kepada Zhu Di, Putera Mahkota Kerajaan Ming. Ketika Maharaja Zhu Yuanzhang mangkat, saudara tirinya,

Zhu Yunwen dilantik menjadi maharaja, hasil komplot istana.

Ini menyebab Zhu Di terpaksa melarikan diri, sebelum merancang pakatan menggulingkan Zhu Yunwen bagi mendapatkan kembakli takhta.

Dengan bantuan 800 askarnya yang setia, Zhu Di yang dibantu Cheng Ho atau nama asalnya Ma Ho berjaya mengalah pasukan Ming di Beijing, sebelum menawan Nanjing untuk kembali mendapatkan takhta. Zhu Di kemudian ditabalkan sebagai Maharaja Yongle.

Setelah inilah, Cheng Ho memulakan kisah pelayarannya dengan disokong sepenuhnya oleh Maharaja Yongle. Ia berlaku 87 tahun lebih awal daripada pelayaran Columbus dan 114 tahun lebih awal daripada Magellan.

Berdasarkan catatan yang berjaya diselamatkan (kebanyakan rekod pelayaran dimusnahkan oleh Dinasti Ching), pelayaran Cheng Ho dan empat kapal utamanya adalah untuk urusan diplomatik dan mengembalikan kegemilangan China.

Maharaja China

Beliau melakukan persiapan rinci untuk pelayaran ini kerana ia disertai oleh 307 kapal serta 27,800 anak kapal, termasuk 180 pegawai perubatan. Untuk tujuan tersebut, beliau memastikan kapal-kapalnya mempunyai tangki air tawar, selain bekalan haiwan ternakan seperti lembu, ayam dan tumbuh-tumbuhan, termasuk tum- buhan yang dijeruk.

Perjalanan Cheng Ho cukup menarik dan megah. Kapalnya cukup gah, besar dan moden.

Beliau memulakan pelayarannya pada tahun 1405, dengan melawat Champa (sekarang di selatan Vietnam), Siam (Thailand), Melaka, dan Pulau Jawa dan kemudian melalui Lautan Hindi ke Kozikode di Malabar, India serta Ceylon. Cheng Ho kembali ke China pada tahun 1407 sebelum memulakan pelayaran kedua, pada 1408-1409.

Beliau sekali lagi melawat perhentian Calicut juga di Chochin, sebelum berperang dengan Raja Alagonakkara dari Ceylon. Cheng Ho berjaya mengalahkan pasukan Alagonakkara dan menawan rajanya ke Nanjing sebagai tawanan.

Pada Oktober 1409, Cheng Ho menunaikan pelayaran ketiga. Kali ini, melepasi pelabuhan India, menuju ke Hormuz di Teluk Parsi. Semasa kembali pada tahun 1411 beliau singgah di Samudra, di hujung utara Sumatera.

Pada pelayaran keempatnya Cheng Ho meninggalkan China pada tahun 1413. Selepas berhenti di pelabuhan utama di Asia, beliau pergi ke Barat dari India ke Hormuz. Satu armadanya menuju ke arah selatan ke pantai Arab, melawat Dhofar (Oman) dan Aden (Yemen).

Armada ini melawat bandar-bandar di sepanjang pantai timur Afrika yang sekarang ialah Somalia dan Kenya dan tiba ke Selat Mozambique. Ketika kembali ke China pada 1415, Cheng Ho membawa utusan lebih dari 30 negara Asia Selatan dan Tenggara untuk memberi penghormatan kepada maharaja China.

Pada waktu inilah beliau membawa bersama-samanya haiwan-haiwan dan dan tumbuhan dari negara yang disinggahi termasuk sepasang zirafah.

Pelayaran Kelima

Semasa pelayaran kelima (1417- 1419), armada Cheng Ho meninjau semula Teluk Parsi dan pantai timur Afrika. Pelayaran keenam ada 1421 untuk membawa pulang utusan asing dari China sempena pembukaan Kota Terlarang. Sekali lagi beliau melawat Asia Tenggara, India, Arab, dan Afrika.

Pada 1424 Maharaja Yongle mangkat. Berlaku peralihan dasar penggantinya, Maharaja Hongxi, dan ekspedisi laut digantung.

Kerana jasanya, Cheng Ho dilantik sebagai panglima di Nanjing. Beliau juga diizin melakukan perjalanan ketujuh dan terakhir termasuk menunaikan haji.

Beliau meninggalkan China pada musim sejuk tahun 1431 dan melawat negeri-negeri Asia Tenggara, pantai India, Teluk Parsi, Laut Merah, dan pantai timur Afrika, sebelum meninggal dunia di Calicut pada musim bunga 1433.

Dengan perjalanan yang luas dan kapal yang begitu gah besarnya, pengkaji sejarah maritim Gavin Menzies yakin Cheng Ho adalah pelayar pertama di dunia yang berjaya mengelilingi dunia.

Ia menjungkar balik kembali fakta, bahawa bukan Barat yang menemui Timur atau Asia, tetapi Timur yang menemui Barat, termasuk menemui Amerika dan Antartika.

Terima kasih kepada Cheng Ho, lelaki yang dikembiri ketika muda kerana menjadi sida-sida raja, tetapi muncul kemudiannya sebagai laksamana yang perkasa.

Nampaknya, sejarah dunia perlu ditulis semula.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Pimpinlah tanganku

BAGI anda kepimpinan itu seperti apa? Saya menganggap ia tanggungjawab