China kesan salmon punca terbaharu Covid-19

BEIJING: Ketua pakar virologi China berkata kadar jangkitan Beijing semakin meningkat, walaupun pihak berkuasa sedang menguji ratusan ribu orang di ibu negara untuk Covid-19.

Dr Wu Zunyou yang juga ketua ahli epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit bagaimanapun berkata, situasi itu masih berada di bawah kawalan.

“Kita masih melihat lebih banyak kes dalam beberapa hari akan datang, namun ini kes yang tidak ditemui ketika jangkitan lebih awal dan bukannya jangkitan baharu. “Angka jangkitan pasti akan menurun,” katanya.

Menurut Wu, Beijing melaporkan  21 kes Covid-19 baharu pada Khamis, yang kesemunya dijangkiti sebelum 12 Jun dan kemuncak penularan wabak itu pada Sabtu lepas. Sejak kes pertama dilaporkan pada 11 Jun lalu, 158 jangkitan direkodkan di bandar itu, semuanya mempunyai kaitan dengan pasar borong Xinfadi di barat daya, daerah Fengtai.

Pasar itu merupakan terbesar di Beijing yang menjual hampir 90 peratus bekalan buah dan sayur-sayuran sebelum ia ditutup pada Sabtu lepas, dengan pihak berkuasa pantas melakukan ribuan ujian Covid-19.

Penemuan virus korona turut ditemui pada papan pemotong yang digunakan untuk salmon yang diimport, menyebabkan restoran dan pasar raya menarik semula salmon dalam menu mereka.

Virus itu merebak dalam kalangan pekerja restoran, kata pegawai. Tujuh pekerja di sebuah restoran jatuh sakit selepas seorang tukang masak dilaporkan ke pasar Xinfadi untuk mengambil bekalan.

Dia dikatakan menjangkiti rakan-rakan sekerjanya yang juga tinggal di hostel pekerja yang sama.