TAMIN: Selepas dua penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang menghargai kepercayaan yang diberikan rakyat dan bersedia menyerahkan rekod perkhidmatannya untuk dinilai semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Beliau berkata pembubaran DUN Sarawak hari ini menandakan mandat sebagai wakil rakyat dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan pilihan serta hala tuju kepimpinan kawasan itu bagi penggal seterusnya.
Menurutnya, hak rakyat untuk membuat pilihan perlu dihormati, manakala segala usaha sepanjang dua penggal lalu dilaksanakan berlandaskan tanggungjawab untuk memperjuangkan keperluan penduduk, selain membawa pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Terima kasih, rakyat DUN N.59 Tamin. Amanah dan kepercayaan yang diberikan sepanjang dua penggal ini sentiasa saya hargai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



