SERIAN: Pendedahan awal kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir masa depan Sarawak ketika negeri ini memperluas pembangunan industri berteknologi tinggi.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha membangunkan bakat muda memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, sekolah dan pemain industri seperti PETRONAS.

Menurutnya, PETRONAS kini mempergiat inisiatif pendidikan bagi mempersiapkan murid menghadapi kerjaya masa depan, selain memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat terhadap tenaga kerja mahir.
“PETRONAS sudah lama melaksanakan usaha ini, tetapi sekarang mereka lebih giat dalam membantu dan membangunkan bakat muda kita.

“Ini sesuatu yang baik dan kita mahu melihat lebih banyak usaha seumpamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan simbolik Kit Sains Sarawak (KITSS) dan Kem Matematik STEM di Borneo Empurau Farm & Resort di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kit sains sumbangan PETRONAS menyokong usaha Sarawak memperluas akses kepada pendidikan STEM menerusi pembelajaran secara amali.
Sagah berkata, Sarawak menyasarkan kadar penyertaan murid dalam aliran STEM di peringkat menengah atas melebihi 60 peratus menjelang 2030.
Merujuk data Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, beliau berkata sebanyak 36.37 peratus murid Tingkatan Empat mengikuti aliran STEM pada 2026.
Walaupun menyifatkan angka itu sebagai perkembangan yang menggalakkan, beliau menegaskan usaha memupuk minat murid dalam bidang berkaitan sains perlu dimulakan sejak usia muda.
Menurutnya, pendidikan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada keputusan peperiksaan, sebaliknya perlu melengkapkan murid dengan pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah dan keyakinan untuk mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan seharian.





