KUCHING: Usaha membina bandar yang bersedia menghadapi masa hadapan menjadi tumpuan utama Forum Bandar Sarawak (SUF) 2.0, dengan penekanan terhadap kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menterjemahkan perancangan bandar kepada pelaksanaan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman berkata, PBT antara institusi yang paling dekat dengan rakyat serta berperanan sebagai penghubung penting antara kerajaan dengan masyarakat.
Menurutnya, peranan itu merangkumi usaha mengetengahkan keperluan, kebimbangan dan aspirasi rakyat kepada kerajaan, selain menterjemahkan dasar serta perancangan kepada perkhidmatan dan penambahbaikan yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian.
“Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bersama PBT lain terus menggerakkan pelbagai inisiatif dalam pembangunan bandar pintar, perkhidmatan digital, kecekapan tenaga, penyediaan ruang hijau serta kesejahteraan komuniti.
“Tumpuan utama adalah memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan, dengan hasil yang dapat dilihat dan dirasai sendiri oleh rakyat,” katanya ketika berucap pada SUF 2.0 di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
SUF 2.0 turut menekankan kepentingan kerjasama antara PBT dengan pelbagai pihak bagi memastikan perancangan bandar dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Forum pada pagi itu turut menampilkan Timbalan Wakil Residen Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Besian Xhezo, yang menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Membina Bandar yang Bersedia Menghadapi Masa Hadapan’.
Ucaptama itu mengetengahkan pembangunan bandar yang mampu menghadapi perubahan serta memenuhi keperluan masyarakat pada masa hadapan.
Forum kemudian diteruskan dengan sesi pleno bertajuk ‘Mentadbir Bandar Masa Hadapan: Dasar Perbandaran bagi Daya Tahan, Inovasi dan Keterangkuman’.
Perkongsian daripada perspektif kerajaan, pentadbiran tempatan dan penyelidikan itu turut membuka ruang untuk meneliti pendekatan pembangunan bandar yang lebih responsif terhadap cabaran semasa, termasuk perubahan iklim, keperluan infrastruktur, kemajuan teknologi dan kesejahteraan masyarakat.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir untuk merasmikan SUF 2.0 pada petang ini.




