SERIAN: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menyumbang 60 set Kit Sains Sarawak (KITSS) bernilai RM1.2 juta bagi memperluas peluang pembelajaran sains secara amali kepada murid di seluruh negeri.
Pengurus Besar Pejabat Wilayah Sarawak PETRONAS, Norazibah M Rabu berkata, inisiatif itu bertujuan menjadikan pembelajaran sains lebih praktikal dan mudah diakses menerusi eksperimen serta aktiviti interaktif.
Menurutnya, kit berkenaan direka untuk membantu murid meneroka konsep sains melangkaui pembelajaran berasaskan buku teks, sekali gus membolehkan mereka memerhati, menguji dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di dalam bilik darjah.
“Kita mahu konsep yang selama ini diajar melalui buku teks diterjemahkan kepada pengalaman yang boleh dilihat, disentuh, diuji dan diterokai sendiri oleh murid.
“Menerusi pendekatan ini, sains bukan sekadar dipelajari, tetapi dialami sendiri, sekali gus mencetuskan rasa ingin tahu dan menggalakkan murid meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan lebih mendalam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan simbolik KITSS dan Kem Matematik STEM di Borneo Empurau Farm & Resort di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.
Norazibah berkata, PETRONAS komited menyumbangkan 60 set kit sains itu ketika inisiatif berkenaan diumumkan pada November 2025.
Pengagihan bermula pada Februari tahun ini, dengan program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 1,030 sekolah di 30 daerah di Sarawak.
Pengagihan itu diselaraskan oleh Pertubuhan Aspirasi Guru Sarawak dengan kerjasama pejabat pendidikan daerah serta Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Setiap kit dilengkapi peralatan pembelajaran sains termasuk mikroskop, tabung uji dan bahan eksperimen bagi membolehkan murid menjalankan pemerhatian serta aktiviti amali.
Direka sebagai sumber pengajaran mudah alih, kit berkenaan turut membolehkan guru melaksanakan pembelajaran interaktif dalam pelbagai persekitaran.
Norazibah berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada agenda Memperkasakan Ilmu PETRONAS yang memberi tumpuan kepada peluasan akses kepada pendidikan berkualiti serta pengukuhan pembelajaran STEM.
Sementara itu, katanya, PETRONAS turut memberi penekanan lebih besar terhadap pendidikan Matematik menerusi Kem Matematik STEM, sebagai kesinambungan kepada program Discover PETRONAS @ Schools.
Menurutnya, kem berkenaan bertujuan membantu murid memahami aplikasi konsep Matematik dalam kehidupan seharian dan pelbagai bidang berkaitan STEM, termasuk industri tenaga.
Beliau berkata, PETROSAINS berperanan sebagai rakan program utama dengan menyumbangkan kepakaran dan sumber bagi menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan praktikal.




