ARTIKEL

CHRISTY EMILY tempa nama industri muzik Dayak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MENJELANG sambutan Hari Gawai Dayak, kemunculan bakat muda dalam industri muzik Dayak terus menyerikan dunia hiburan tempatan.

Antara nama yang semakin mendapat perhatian ialah Christy Emily Nurien Augustine, 16, atau lebih dikenali sebagai Christy Emily.

Anak kelahiran Kanowit itu kini semakin dikenali selepas tampil dengan single kedua berjudul Mulai Kediri, sebuah lagu berentak dangdut moden yang sarat dengan emosi dan kisah percintaan.

Walaupun masih bergelar pelajar sekolah, Christy membuktikan usia muda bukan penghalang untuk mengembangkan bakat seni yang dimiliki.

Menurut Christy, minatnya terhadap nyanyian bermula sejak kecil hasil dorongan ibunya yang banyak mengajar asas nyanyian.

“Saya mula suka menyanyi sejak umur lima tahun. Ibu banyak memberi semangat dan selalu mengajar saya menyanyi sejak kecil lagi,” katanya.

Lagu Mulai Kediri yang dilancarkan menerusi saluran YouTube Kitai Entertainment (CKE) pada Mac lalu merupakan hasil ciptaan Anjie Koll, manakala proses rakaman dikendalikan oleh produser muda, Wilter Jr. Lagu tersebut mengisahkan seorang wanita yang kecewa selepas dikhianati insan tersayang, namun bangkit untuk meneruskan kehidupan dengan lebih kuat dan berdikari.

Katanya, walaupun jalan cerita lagu itu bukan pengalaman dirinya sendiri, beliau tetap cuba menghayati setiap bait lirik agar emosi lagu dapat disampaikan dengan baik kepada pendengar.

“Saya cuba menyampaikan rasa sedih dan kecewa dalam lagu ini supaya pendengar dapat merasai maksud sebenar lagu tersebut,” ujarnya.

Di sebalik kesibukan sebagai pelajar, Christy bijak membahagikan masa antara pelajaran dengan kerjaya seni.

Tambah Christy, disiplin diri menjadi faktor penting untuk memastikan akademik dan minat dalam bidang nyanyian dapat bergerak seiring.

“Pelajaran tetap menjadi keutamaan saya, tetapi saya juga mahu terus belajar dan berkembang dalam bidang seni,” katanya.

Christy turut menjadikan Siti Nurhaliza sebagai inspirasi untuk terus berjaya dalam industri muzik.

Bersempena sambutan Hari Gawai tahun ini, Christy berharap lebih ramai anak muda Dayak berani mengetengahkan bakat masing-masing dalam bidang seni dan kreatif.

Menurutnya, muzik bukan sahaja medium hiburan, malah mampu menjadi platform untuk memperkenalkan budaya Dayak kepada masyarakat luar.

“Sebagai anak Dayak, saya bangga dapat membawa lagu dan budaya kita kepada lebih ramai orang.

Saya harap industri muzik Dayak akan terus berkembang dan mendapat tempat yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Dengan bakat, semangat serta sokongan keluarga, Christy Emily kini dilihat sebagai antara wajah baharu yang berpotensi mewarnai industri muzik Dayak dan terus menempa nama pada masa akan datang.

BERITA LAIN

JEP SEPAHTU bayar zakat RM1.93 juta

JEP SEPAHTU sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi 16 resit pembayaran zakat bagi tempoh 2016 hingga 2025 yang menunjukkan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.93 juta. Perkongsian

BERITA TERBARU