KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memohon maaf dan menarik semula kenyataan media yang dikeluarkan agensi itu berkaitan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
CIDB dalam kenyataan terbaharu menjelaskan keputusan itu dibuat kerana tidak mahu mendahului proses siasatan yang masih berjalan dan membabitkan banyak pihak berkuasa.
Menurut agensi itu, sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan industri pembinaan negara, CIDB memberi jaminan akan membantu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa terlibat.
“CIDB ingin memohon maaf atas sebarang kekeliruan atau kebimbangan yang tercetus akibat kenyataan tersebut terutamanya kepada penduduk yang terkesan.
“Kami memahami kesulitan yang dihadapi dan berusaha memastikan perkara ini ditangani dengan penuh integriti dan ketelusan. Kami komited untuk memastikan setiap aspek kes ini diteliti secara menyeluruh dan adil,” menurut kenyataan itu. – Bernama



