ARTIKEL

Delegasi Sarawak sempena penyertaan sulung dengan membuka Pavilion Sarawak pada China International MICE Exchange (CIMX) 2026 di Beijing.

CIMX 2026: Sarawak Perkukuh Kedudukan Dalam Pasaran Acara Perniagaan China

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak memperkukuh kedudukannya dalam pasaran acara perniagaan China menerusi penyertaan sulung dengan membuka Pavilion Sarawak pada China International MICE Exchange (CIMX) 2026 di Beijing.

Ia sebagai usaha meneroka peluang perniagaan baharu serta menarik lebih banyak acara korporat dan antarabangsa ke negeri ini.

Pavilion berkenaan yang berlangsung dari 3 hingga 5 November di China National Convention Centre Fasa II menghimpunkan 10 rakan industri di bawah pimpinan Business Events Sarawak (BESarawak) bagi mempromosikan keupayaan Sarawak sebagai destinasi mesyuarat korporat, perjalanan insentif, persidangan dan pameran.

Penyertaan itu memberi tumpuan kepada pasaran mesyuarat korporat dan pelancongan insentif yang semakin berkembang, dengan menawarkan gabungan kemudahan mesyuarat dan persidangan moden, perkhidmatan hospitaliti bertaraf antarabangsa serta pengalaman budaya dan alam semula jadi.

Usaha itu turut memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai Ibu Kota Legasi Acara Perniagaan di Malaysia dan Borneo, dengan penekanan penganjuran acara yang mampu memberikan impak jangka panjang dari aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.

China kekal sebagai antara pasaran pelawat antarabangsa utama Sarawak, disokong peningkatan permintaan perjalanan di antara China dengan Malaysia.

Menurut Tourism Malaysia, sebanyak 3.7 juta pelancong China direkodkan mengunjungi Malaysia dari Januari hingga Ogos 2026, meningkat 13.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kemudahan kemasukan tanpa visa serta jaringan penerbangan ke Sarawak menerusi Kuala Lumpur dan Singapura turut membuka ruang kepada negeri ini untuk meningkatkan bahagiannya dalam pasaran acara perniagaan China.

Selain sektor pelancongan, hubungan ekonomi Sarawak yang semakin berkembang dengan China turut menyediakan peluang kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pembuatan termaju dan teknologi digital.

Kepentingan bersama dalam sektor berkenaan boleh dimanfaatkan menerusi penganjuran mesyuarat korporat, konvensyen industri, pameran dan pertukaran pengetahuan bagi memperkukuh kerjasama perniagaan serta menyokong agenda pembangunan jangka panjang Sarawak.

Sarawak turut memperluas penawaran menerusi Program Mobiliti Akademik Sarawak (Sarawak AMP) yang diperkenalkan pada 2026 bagi memudahkan lawatan sambil belajar dan lawatan teknikal oleh institusi pendidikan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi BESarawak, Datu Hii Chang Kee, berkata hubungan ekonomi Sarawak dan China yang semakin kukuh membuka peluang untuk memajukan agenda pembangunan negeri menerusi acara perniagaan antarabangsa.

“China merupakan rakan ekonomi penting Sarawak, khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pembuatan termaju dan teknologi digital yang melengkapi aspirasi kita di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Acara perniagaan menyediakan platform untuk memperkukuh hubungan ekonomi menerusi jaringan industri, perkongsian kepakaran dan peluang kerjasama.

“Matlamat kita bukan sekadar menarik penganjuran acara antarabangsa, tetapi memastikan setiap acara menyumbang kepada pengukuhan industri, peningkatan inovasi dan manfaat ekonomi jangka panjang kepada Sarawak,” katanya.

Pavilion Sarawak itu menghimpunkan 10 rakan industri merangkumi sektor penginapan, perjalanan dan perkhidmatan acara, iaitu Cat City Holidays, Hornbill & Horizon, Kuching Event Rental, Miri Marriott Resort & Spa, Mulu Marriott Resort & Spa, Pullman Kuching Hotel, Pullman Miri Waterfront Hotel, Sheraton Kuching, T.E.E.M. Event & Exhibition Management Sdn Bhd dan Wah Tung Travel Sdn Bhd.

Penyertaan bersama itu membolehkan pembeli dan penganjur acara dari China mendapatkan gambaran lebih menyeluruh pakej serta keupayaan Sarawak dalam menawarkan program mesyuarat korporat, perjalanan insentif, konvensyen antarabangsa, pameran dan pertukaran industri.

Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak, Jason Tan Chin Foo, berkata penyertaan lebih tersusun menerusi pavilion itu mencerminkan usaha Sarawak menterjemahkan minat pasaran China kepada peluang perniagaan yang lebih konkrit dalam pelbagai segmen acara perniagaan.

Beliau berkata pelibatan BESarawak di China sebelum ini berjaya menarik minat penganjur acara perniagaan untuk meneroka Sarawak sebagai destinasi baharu, khususnya bagi mesyuarat korporat dan perjalanan insentif.

Menurutnya, selain tarikan alam semula jadi dan budaya, keunikan landskap perniagaan Sarawak serta pendekatan impak legasi turut mendapat perhatian kerana menggabungkan penerokaan destinasi dengan peluang pertukaran budaya, pelibatan industri dan kerjasama perniagaan.

Penyertaan di CIMX 2026 itu sebahagian daripada usaha berterusan BESarawak memperluas pasaran di rantau Asia Pasifik, dengan penganjuran berkenaan dijangka menarik kira-kira 5,000 profesional industri dari China.

Delegasi Sarawak turut mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Tourism Malaysia di Beijing bagi memperkukuh kerjasama pembangunan pasaran, meneroka peluang promosi dan meningkatkan keterlihatan Sarawak dalam kalangan pembeli acara perniagaan China.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU