SARIKEI: Jamboree Berbasikal Bukit (MTB) Sebangkoi 2026 dijadualkan berlangsung pada Ahad ini (8 November).
Ia sekali gus menyaksikan 76 pelumba handalan berentap bagi memburu kejuaraan untuk edisi pertama tersebut.
Pengerusi pertandingan, Saiful Hanizam Suhaini memberitahu, himpunan pelumba terbabit mewakili pelbagai kelab handalan tempatan serta beberapa buah negara.
Menurut Saiful, ia mencakupi pelumba dari Sarawak seramai 63 orang, Sabah (tiga) dan Semenanjung Malaysia (tiga). Selain itu, empat buah negara seperti Brunei Darussalam, Indonesia, Afrika Selatan dan Kanada yang masing-masing mempertaruhkan seorang pelumba.
“Sambutan di luar jangkaan diterima pihak kita ketika ini apabila menyaksikan 76 pelumba yang akan berentap,” ujar Saiful kepada Arena Suara Sarawak.

Tegas Saiful, pihaknya menjangkakan pertembungan sengit akan berlaku kelak.
“Difahamkan pasukan terlibat mempertaruhkan barisan pelumba handalan serta berpengalaman,” tambah Saiful.
Hadiah wang tunai RM11,650 keseluruhan tersedia menanti para pemenang dari enam kategori dipertandingkan.
“Enam kategori yang dipertandingkan ialah Lelaki Terbuka (18 Tahun & Ke atas), Wanita (13 Tahun & Ke atas), Veteran (40-49 Tahun), Master (50-59 Tahun), Super Master (60 Tahun & Ke atas) dan Remaja (13-17 Tahun),” katanya.
Acara julung kali diperkenalkan itu dianjurkan oleh Kelab Sukan Rekreasi Laser Light (KSRLL) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sarikei.
Acara ini mendapat sokongan Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak dan PERBASA.
Perlumbaan sehari itu bermula di Taman Rekreasi Sebangkoi, Sarikei dengan jarak perlumbaan sejauh 30 kilometer.
Program terbabit bukan sahaja dapat memberi peluang kepada pelumba terlibat mengetengahkan bakat masing-masing, malah ia juga mampu menjadi pendedahan kepada mereka dengan perlumbaan lebih kompetitif.
“Kita percaya ini merupakan kredit kepada pelumba muda untuk melihat kemampuan sebenar mereka,” jelas Saiful.
Katanya, acara tersebut juga secara tidak langsung dapat menggalakkan amalan gaya hidup sihat terhadap golongan sasar.





