ARTIKEL

Ahmad Zahid Tiba Di Istanbul Bagi Lawatan Kerja Empat Hari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ISTANBUL: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan kerja empat hari ke Turkiye hingga 8 Nov, bersempena dengan penyertaan beliau dalam TRT World Forum 2026.

Pesawat khas yang membawa beliau bersama dengan isteri Datin Seri Hamidah Khamis mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 3.30 pagi waktu tempatan (8.30 waktu Malaysia) dan disambut Duta Besar Malaysia ke Turkiye Adlan Mohd Shaffieq.

Pada Jumaat, Ahmad Zahid dijadual menerima kunjungan hormat daripada Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye Prof Dr Erol Ozvar, sebelum menghadiri majlis perasmian TRT World Forum 2026 di Istanbul Congress Centre (ICC), yang disempurnakan oleh Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut dijadual menyertai forum itu sebagai seorang daripada ahli panel bagi sesi bertajuk Turkiye From Regional Power to Multi-Regional Actor. 

TRT World Forum 2026 yang mengangkat tema A World Without a Center: Who Leads When The Rules Run Out?, merupakan platform antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin politik, penggubal dasar, ahli akademik, pengamal media serta wakil masyarakat sivil bagi membincangkan pelbagai isu global.

Antara tokoh Malaysia yang pernah menyertai forum berprestij tersebut ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 dan 2019, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz (2019) serta pakar kesihatan awam Prof Tan Sri Dr Jemilah Mahmood (2020).

Pada 7 Nov, Ahmad Zahid dijadual menyampaikan syarahan di Universiti Ibn Haldun serta menyertai sesi libat urus bersama dengan badan pemikir Foundation for Political, Economic and Social Research (SETA) bagi membincangkan isu geopolitik dan geoekonomi semasa.

Beliau seterusnya dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Lubnan Tarek Mitri, selain menyaksikan pemeteraian Surat Kolaborasi (LOC) antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Universiti Sabanci serta Universiti Teknikal Yildiz.

Majlis pertukaran dokumen berkenaan akan turut dihadiri 17 pelajar tajaan MARA yang sedang melanjutkan pengajian di Turkiye. 

Malaysia dan Turkiye menjalinkan hubungan diplomatik rasmi sejak 17 Jun 1964 dan terus menikmati kerjasama strategik yang erat, merangkumi pelbagai sektor termasuk politik, ekonomi, perdagangan serta pendidikan.

Jumlah dagangan dua hala Malaysia-Turkiye kini mencecah US$5.6 bilion, dengan kedua-dua negara pada Januari 2026 bersetuju untuk meningkatkan nilai perdagangan kepada US$10 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Peningkatan itu mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan ekonomi, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara rakan dagang utama Turkiye di rantau Asia Tenggara selain Singapura. – BERNAMA

BERITA LAIN

Gangwon Waspada Kebangkitan The Cats

KUCHING: Gangwon FC menjangkakan Kuching City FC tampil lebih agresif dalam usaha memburu kemenangan pertama Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) apabila kedua-dua pasukan bertemu semula

BERITA TERBARU

KUCING bukan sekadar teman

MINGGU lalu, ketika sedang menyemak rencana yang dihantar oleh wartawan untuk diterbitkan, saya berbual santai dengan seorang rakan sepejabat. Saya memberitahunya, beberapa bulan lalu, dua