ARTIKEL

Gangwon Waspada Kebangkitan The Cats

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gangwon FC menjangkakan Kuching City FC tampil lebih agresif dalam usaha memburu kemenangan pertama Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) apabila kedua-dua pasukan bertemu semula di Stadium Taha Ariffin, malam ini.

Pemain Gangwon FC, Kim Dong-hyeon berkata, kemenangan tipis 1-0 pada pertemuan pertama di Korea Selatan membuktikan skuad The Cats bukan lawan mudah, terutama dengan kehadiran beberapa pemain berkualiti yang mampu memberikan ancaman.

“Kami melihat Kuching City mempunyai ramai pemain berbakat dan berkualiti ketika pertemuan di tempat sendiri sebelum ini, malah mereka merupakan pasukan yang berbahaya.

“Saya menjangkakan perlawanan kali ini lebih sukar buat kami kerana mereka pasti mahu memberikan tentangan lebih sengit untuk mendapatkan keputusan positif,” katanya pada sidang media praperlawanan, di sini, semalam.

Menurut Dong-hyeon, Gangwon perlu memastikan setiap pemain berada pada tahap kecergasan terbaik bagi menghadapi tekanan daripada tuan rumah yang dijangka tampil dengan pendekatan lebih menyerang.

Beliau berkata, kekuatan dan kedalaman skuad menjadi kelebihan Gangwon untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi sepanjang perlawanan.

“Kami mempunyai ramai pemain yang boleh menggalas tanggungjawab dan bersedia menghadapi apa-apa jua keadaan dalam perlawanan ini.

“Saya akan mengikuti segala arahan serta perancangan taktikal jurulatih Park Yong-ho dan berusaha memberikan yang terbaik bagi memastikan kami memperoleh tiga mata,” jelasnya.

Terdahulu, Gangwon menewaskan Kuching City 1-0 hasil jaringan Choe Byeong-chan pada aksi ketiga Kumpulan H di Stadium Gangneung, Korea Selatan pada 29 Oktober lalu.

Bagaimanapun, Kuching City yang masih memburu kemenangan pertama dalam saingan kumpulan dijangka memanfaatkan kelebihan gelanggang sendiri untuk memperbaiki keputusan selepas kekalahan tipis berkenaan.

Gangwon pula hadir dengan misi mencatat kemenangan kedua berturut-turut ke atas skuad kendalian Aidil Sharin Sahak bagi memperkukuh peluang mara ke pusingan 16 terbaik.

Pertemuan keempat Kumpulan H itu dijadual bermula jam 8.15 malam ini dengan kedua-dua pasukan dijangka memberikan tumpuan kepada perebutan tiga mata penting.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU