ARTIKEL

Lebih 2.74 juta rakyat Sarawak terima bantuan pendidikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lebih 2.74 juta penerima di seluruh Sarawak mendapat manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan pendidikan Yayasan Sarawak sejak penubuhannya pada 1971, dengan jumlah peruntukan terkumpul melebihi RM2.46 bilion.

Pengarah Yayasan Sarawak, Datuk Mohamad Junaidi Mohidin berkata, bantuan itu merangkumi biasiswa, pinjaman pendidikan, bantuan kewangan serta pelbagai program dan inisiatif berkaitan pendidikan.

Katanya, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan Yayasan Sarawak dalam memperluas akses kepada peluang pendidikan kepada masyarakat di seluruh negeri sepanjang tempoh 55 tahun penubuhannya.

“Daripada menyediakan bantuan kepada kanak-kanak di peringkat sekolah rendah hinggalah menaja pelajar cemerlang ke universiti terkemuka di luar negara, Yayasan Sarawak sentiasa berusaha memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada aspirasi pendidikan anak-anak Sarawak.

“Komitmen kami sentiasa jelas, setiap anak Sarawak yang layak mesti diberikan peluang melanjutkan pengajian berkualiti dan mencapai potensi sepenuhnya tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-55 Yayasan Sarawak di sebuah hotel malam tadi.

Beliau berkata, selain menyediakan bantuan kewangan, Yayasan Sarawak turut memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem pendidikan dan latihan teknikal yang menyeluruh menerusi pelaburan strategik dalam institusi serta infrastruktur pendidikan.

Katanya, usaha itu merangkumi pembangunan bakat pada setiap peringkat pembelajaran, bermula daripada pendidikan menengah hingga pengajian tinggi serta latihan teknikal khusus.

Menurutnya, kerajaan negeri turut membuat pelaburan besar dalam pembangunan infrastruktur pendidikan moden menerusi penubuhan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS).

Di samping itu, beliau berkata laluan pendidikan bersepadu berkenaan turut diperkukuh menerusi Kumpulan Pendidikan Yayasan Sarawak (YSEG) yang menghimpunkan institusi dengan kekuatan dan bidang pengkhususan masing-masing.

Antaranya termasuk Universiti Curtin Malaysia dan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak yang menawarkan kelayakan diiktiraf antarabangsa serta peluang pendidikan yang relevan dengan keperluan global.

Selain itu, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Laila Taib (KLT) dan Universiti Teknologi Tun Openg Sarawak turut menyumbang kepada pengukuhan keupayaan teknologi, pembangunan profesional serta kapasiti industri serantau.

“Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) pula menerajui latihan teknikal lanjutan, peningkatan kemahiran digital dan pembangunan kompetensi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Secara bersama, institusi ini membentuk ekosistem pendidikan bersepadu yang menyokong pembangunan bakat Sarawak serta memperkukuh keupayaan negeri memenuhi permintaan ekonomi global yang semakin kompetitif,” katanya.

Dalam pada itu, Junaidi berkata Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) merupakan antara inisiatif pendidikan transformatif yang mencerminkan komitmen kerajaan negeri memastikan anak Sarawak yang layak dapat melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik negeri yang ditetapkan tanpa perlu menanggung yuran pengajian.

Katanya, inisiatif itu bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya satu pelaburan besar dalam potensi insan, mobiliti sosial dan kemajuan antara generasi.

Mengulas hala tuju Yayasan Sarawak menjelang 2030, beliau berkata inisiatif pembangunan modal insan organisasi itu akan diselaraskan dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta aspirasi Sarawak membangunkan ekonomi baharu yang progresif, berdaya tahan dan mampan.

Menurutnya, ekonomi baharu Sarawak berteraskan transformasi digital, tenaga hijau dan kelestarian alam sekitar yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, mudah menyesuaikan diri serta berdaya saing di peringkat global.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Dasar pendidikan S’wak pacu ekonomi rakyat

“KALAU tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Peribahasa klasik ini membawa makna, cita-cita, harapan dan kejayaan tidak akan tercapai tanpa usaha gigih dan pengorbanan. Jasnita