ARTIKEL

Filemon mahu penyokong penuhi stadium, bakar semangat The Cats

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pemain Kuching City FC, Filemon Anyie, menyeru penyokong membanjiri Stadium Taha Ariffin bagi membakar semangat skuad The Cats memburu kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) ketika menentang Gangwon FC, malam esok.

Filemon berkata, kehadiran penyokong amat penting untuk meningkatkan motivasi pemain, terutama ketika pasukan berdepan cabaran getir dalam saingan Kumpulan H dan dibelenggu masalah kecederaan beberapa tonggak utama.

“Saya berharap penyokong Kuching City datang beramai-ramai memenuhi stadium bagi memeriahkan suasana dan memberikan semangat tambahan kepada pasukan.

“Kami sangat memerlukan sokongan mereka dan berharap lebih ramai hadir untuk memberikan dorongan kepada pemain dalam perlawanan penting ini,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Menurut Filemon, semua pemain berada dalam keadaan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menggalas tanggungjawab lebih besar meskipun pasukan kehilangan beberapa pemain utama akibat kecederaan.

Beliau berkata, pemain yang diberi kepercayaan untuk turun beraksi perlu melaksanakan segala perancangan taktikal Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak, bagi memastikan pasukan mampu memberikan tentangan terbaik.

“Dari segi mental dan fizikal, semua pemain sudah bersedia. Apa sahaja perancangan ketua jurulatih, kami perlu melaksanakannya dengan baik dalam perlawanan.

“Bagi pemain yang tidak mengalami kecederaan, mereka perlu bersedia menggalas tanggungjawab menggantikan tonggak utama dan kami akan memberikan yang terbaik,” jelasnya.

Mengulas kekuatan lawan, Filemon mengakui Gangwon merupakan pasukan yang memiliki disiplin tinggi serta organisasi permainan tersusun, sekali gus menuntut Kuching City lebih berhati-hati sepanjang perlawanan.
“Gangwon merupakan pasukan yang sangat berdisiplin dan mempunyai organisasi permainan yang baik. Kami perlu memberikan perhatian kepada pemain utama mereka, terutama kapten pasukan.

“Namun, perkara paling penting ialah setiap pemain Kuching City mesti mematuhi perancangan jurulatih untuk mendapatkan kemenangan pertama kami dalam ACL2,” katanya.

Kuching City sebelum ini tewas tipis 0-1 kepada Gangwon dalam aksi ketiga Kumpulan H di Stadium Gangneung, Korea Selatan pada 29 Oktober lalu.

Pada perlawanan terakhir di laman sendiri, kira-kira 5,000 penyokong hadir memberikan sokongan kepada The Cats, dengan jumlah lebih besar diharapkan bagi aksi timbal balik kali ini.

Pertemuan menentang Gangwon yang dijadualkan bermula jam 8.15 malam esok menjadi peluang penting buat Kuching City untuk memperbaiki kedudukan serta menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya.

BERITA LAIN

Pertahan 47 kerusi PBB, 82 kerusi GPS

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memburu kemenangan di kesemua 47 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum DUN Sarawak ke-12, kata Timbalan Presidennya, Datuk

Sarawak perlu perkukuh STEM, budaya penyelidikan

KUCHING: Kunjungan penerima Hadiah Nobel Fizik 2023, Profesor Pierre Agostini, ke Sarawak membuka ruang untuk perkongsian kepakaran dan pertukaran pandangan bagi memperkukuh bidang sains, penyelidikan

BERITA TERBARU