ARTIKEL

Aidil bercakap pada sidang media praperlawanan Kuching City menentang Gangwon FC di sini, hari ini.

Tujuh pemain cedera, Aidil tetap yakin The Cats mampu bangkit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kuching City FC berdepan ujian getir apabila sehingga tujuh tonggak utama dibelenggu kecederaan menjelang aksi penting menentang Gangwon FC dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, malam esok.

Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, berkata masalah kecederaan itu memaksa beliau menyusun semula perancangan pasukan bagi memburu kemenangan pertama selepas tiga kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan.

“Kami kehilangan enam hingga tujuh pemain utama akibat kecederaan dan keadaan ini sememangnya menjejaskan persiapan pasukan.

“Namun, kami akan menggunakan pemain yang tersedia kerana setiap perlawanan sangat penting, lebih-lebih lagi apabila berdepan pasukan berpengalaman seperti Gangwon,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Menurut Aidil, antara pemain yang tidak dapat diturunkan ialah Ronald Ngah Wanja dan Gabriel Peres, dengan Peres dijangka berehat selama dua bulan selepas menjalani pembedahan lutut.

Katanya, Jimmy Raymond turut diketepikan akibat kecederaan ibu jari kaki, manakala Ajdin Mujagic mengalami masalah pangkal paha dan Ahmad Israiwah juga masih belum pulih.

Mengulas tiga kekalahan berturut-turut, Aidil menegaskan keputusan tersebut tidak seharusnya dilihat secara keseluruhan tanpa mengambil kira kekuatan lawan dan situasi yang dihadapi pasukan.

“Kami tidak menafikan tewas dalam tiga perlawanan terakhir, tetapi perlu melihat siapa lawan yang kami hadapi. Gangwon mempunyai kedudukan jauh lebih tinggi, manakala ketika menentang Selangor, kami memberikan tentangan yang baik.

“Menentang DPMM FC pula, kami sebenarnya mendahului 2-1 sebelum terpaksa bermain dengan 10 pemain. Jadi, banyak aspek perlu dinilai dan tugas saya sekarang ialah memastikan pasukan bersedia untuk perlawanan ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aidil mengakui jadual padat turut menjadi cabaran apabila Kuching City perlu mengharungi aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Selangor FC pada Ahad ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tumpuan sepenuhnya kini diberikan kepada Gangwon sebelum mengalihkan perhatian kepada usaha memburu tiket final Piala FA.

“Jadual memang sangat padat kerana selepas perlawanan ini, kami hanya mempunyai masa yang singkat sebelum menentang Selangor.

“Kami tidak boleh menjanjikan apa-apa, tetapi akan menguruskan keadaan sebaik mungkin bagi memastikan pemain berada pada tahap kecergasan terbaik untuk setiap perlawanan,” katanya.

Aidil turut menegaskan Kuching City tidak akan gentar dengan reputasi Gangwon yang dibarisi pemain berpengalaman di pentas antarabangsa, sebaliknya mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Kami tidak takut kepada mana-mana pasukan. Kami mahu menunjukkan keyakinan tanpa bersikap angkuh kerana pasukan lawan juga perlu tahu bahawa bukan mudah untuk menewaskan kami di gelanggang sendiri.

“Dengan sokongan penyokong dan semangat pemain, saya percaya perlawanan kali ini akan berbeza. Kami mahu pemain menikmati permainan dan memberikan yang terbaik,” ujarnya.

Kuching City sebelum ini tewas tipis 0-1 kepada Gangwon menerusi jaringan Choe Byeong-chan dalam aksi ketiga Kumpulan H di Stadium Gangneung, Korea Selatan pada 29 Oktober lalu.

Pertemuan timbal balik yang dijadualkan bermula jam 8.15 malam esok menjadi peluang penting buat The Cats memburu kemenangan pertama, sekali gus menghidupkan peluang dalam saingan peringkat kumpulan ACL2.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU