KUCHING: Seramai 9,000 pengunjung dari seluruh Malaysia termasuk Brunei Darussalam dan Indonesia disasarkan memeriahkan Saratok Members Motor Gathering (SMMG) 2026 di Tapak Dewan Sri Krian, Saratok pada 7 hingga 8 November ini.
Pengerusi SMMG merangkap Pengerusi Kelab Permotoran Power Legacy, Mohamad Shahriel Hassim berkata, penganjuran selama dua hari itu bukan sekadar menghimpunkan peminat motosikal, malah bertujuan merancakkan ekonomi tempatan.
“Penganjuran juga bagi mempromosikan Saratok kepada pengunjung luar, sekali gus memperkenalkan sebagai destinasi pelancongan dan acara permotoran di Sarawak,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Menurut Shahriel, program bertemakan Satu Perhimpunan, Satu Persaudaraan, Satu Minat itu terbuka kepada pelbagai komuniti permotoran termasuk motosikal berkuasa tinggi, motosikal klasik, retro, kapcai serta motosikal ubah suai.


Beliau berkata, penyertaan daripada pelbagai kelab dan persatuan permotoran tanpa mengira negeri, bangsa serta latar belakang diharap dapat memperkukuh perpaduan dan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta.
“Dunia permotoran bukan sekadar hobi, tetapi boleh menjadi medium untuk membina jati diri, mengembangkan bakat dan memperluas jaringan persaudaraan.
“Kami juga mahu menjadikan program ini sebagai platform kepada golongan belia untuk melibatkan diri dalam aktiviti positif, berdisiplin serta membina kemahiran kepimpinan dan kerjasama berpasukan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Shahriel berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang penganjuran termasuk pameran motosikal klasik, retro dan ubah suai, pertandingan motosikal klasik, persembahan artis tempatan serta persembahan kumpulan muzik secara langsung.
“Selain itu, ruang jualan makanan, minuman, aksesori motosikal dan produk automotif turut disediakan bagi memberi peluang kepada usahawan serta peniaga tempatan menjana pendapatan sepanjang program berlangsung,” katanya.
Mengulas perancangan masa depan, Shahriel berharap SMMG dapat dijadikan acara tahunan yang menjadi identiti komuniti permotoran Saratok, sekali gus menarik penyertaan lebih besar dari dalam dan luar negara.

“Kami berharap program ini dapat berkembang menjadi acara permotoran yang lebih besar pada masa akan datang dengan penyertaan lebih meluas serta sokongan penaja, agensi kerajaan dan rakan strategik.
“Belia bukan sekadar pewaris masa hadapan, tetapi penggerak pembangunan hari ini. Sebab itu, kami mahu menjadikan SMMG sebagai platform membina generasi muda yang aktif, berdisiplin dan berdaya saing,” katanya.
Program anjuran Kelab Permotoran Power Legacy itu turut membuka penyertaan kepada masyarakat umum termasuk keluarga, peminat automotif dan pelancong yang ingin menikmati pelbagai aktiviti sepanjang dua hari penganjuran.
Ia juga memberi peluang kepada golongan belia menyertai aktiviti sukarelawan dan pengurusan acara, selain menerapkan kesedaran keselamatan jalan raya serta budaya permotoran yang bertanggungjawab.





