LAWAS: Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) menjalankan kajian awal bagi menilai keperluan dan kebolehlaksanaan cadangan pengkodifikasian ‘Adat Tagal’ susulan permohonan masyarakat berkenaan.
Kajian itu bertujuan mendapatkan gambaran yang lebih jelas berkaitan adat dan amalan kebiasaan masyarakat Tagal yang masih diamalkan sehingga kini, termasuk pelaksanaannya dalam kehidupan seharian.
Menurut MAIS, kajian itu turut mengambil kira pandangan masyarakat Tagal bahawa Adat Lun Bawang 2004 sebagai rujukan semasa tidak sepenuhnya mencerminkan adat, budaya, dialek dan amalan kebiasaan mereka.
“Penelitian turut dilakukan bagi mengenal pasti persamaan dan perbezaan antara adat yang diamalkan masyarakat Tagal dengan Adat Lun Bawang 2004.

“Kajian berkenaan juga merangkumi kaedah masyarakat menangani perkara berkaitan adat, pihak yang menjadi rujukan dalam hal ehwal adat serta kaedah penyelesaian pertikaian atau pelanggaran adat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mengulas lanjut, bagi mendapatkan maklumat berkenaan, MAIS melaksanakan kajian melalui temu bual berstruktur bersama-sama anggota masyarakat dan informan budaya Tagal.
Ujarnya, maklumat yang diperoleh akan memberikan gambaran awal kepada MAIS berkaitan kedudukan serta amalan semasa Adat Tagal, selain membantu menilai kesesuaian dan kebolehlaksanaan cadangan pengkodifikasian berkenaan.
Tambahnya, dapatan kajian seterusnya akan dibawa untuk pertimbangan MAIS bagi menentukan hala tuju yang bersesuaian sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung cadangan pengkodifikasian Adat Tagal.




