KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menubuhkan 13 jawatankuasa bagi menyelaras persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum DUN Sarawak Ke-13.
Timbalan Premier merangkap Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata persiapan itu dibentangkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB dalam mesyuarat hari ini.
“GPS telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi PRU DUN Sarawak Ke-13 dan kita telah menubuhkan 13 jawatankuasa.
“Jawatankuasa berkenaan meliputi beberapa bidang, antaranya sekretariat, projek dan manifesto, perisikan, lawatan VVIP, logistik dan udara, kewangan, keselamatan serta perundangan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat parti itu di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden PBB yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan dihadiri hampir semua anggota Majlis Tertinggi parti.
Uggah yang juga Timbalan Pengerusi GPS berkata, beliau dilantik sebagai Pengarah Operasi pilihan raya GPS, dengan keanggotaan operasi membabitkan presiden parti komponen gabungan itu, iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Mengulas fungsi jawatankuasa perisikan, beliau berkata, tugasnya termasuk mengenal pasti isu yang berbangkit sepanjang tempoh pilihan raya serta meneliti langkah untuk menanganinya.
“Biasanya banyak isu yang timbul. Jawatankuasa ini mengenal pasti isu berkenaan dan bagaimana untuk mengatasinya kerana ketika pilihan raya, pelbagai isu akan dibangkitkan,” katanya lagi.
Uggah berkata, semua cawangan PBB di seluruh Sarawak turut diminta membuat persiapan bagi memastikan parti itu bersedia menghadapi PRU DUN Sarawak kali ini.
Mengulas pemilihan calon, Uggah berkata, GPS memberikan mandat kepada Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk membuat keputusan muktamad.
Katanya, mandat itu dipersetujui semua pemimpin parti komponen GPS dalam mesyuarat sebelum ini.
Sementara itu, Uggah berkata, manifesto GPS masih dalam proses penggubalan dan kandungannya akan diumumkan ketika pelancaran kelak.





