KUCHING: Kunjungan penerima Hadiah Nobel Fizik 2023, Profesor Pierre Agostini, ke Sarawak membuka ruang untuk perkongsian kepakaran dan pertukaran pandangan bagi memperkukuh bidang sains, penyelidikan serta inovasi di negeri ini.
Pertemuan itu turut menekankan kepentingan penguasaan ilmu, pembangunan kepakaran dan penghasilan inovasi teknologi sebagai asas membentuk Sarawak yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kemajuan negeri bukan sahaja bergantung kepada kekuatan ekonomi, malah turut ditentukan oleh keupayaan rakyat menguasai ilmu, membangunkan kepakaran dan menghasilkan inovasi teknologi.
“Sarawak juga mempunyai potensi untuk berkembang sebagai pusat kecemerlangan sains, penyelidikan dan inovasi, sejajar dengan aspirasi membangunkan ekonomi berteraskan teknologi tinggi, tenaga boleh diperbaharui dan modal insan berkemahiran.

“Justeru, pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta budaya penyelidikan perlu terus diperkukuh, khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Profesor Pierre Agostini bersama delegasi Institut Fizik Malaysia (MIP) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, bagi merealisasikan hasrat itu, kerjasama antara institusi pengajian tinggi tempatan dengan universiti dan pusat penyelidikan antarabangsa perlu diperluas, termasuk dalam bidang strategik seperti teknologi kuantum, kecerdasan buatan (AI) dan industri berteknologi tinggi.
Pada masa yang sama, usaha menarik serta mengekalkan tenaga pakar tempatan perlu dipertingkatkan melalui penyediaan peluang kerjaya, kemudahan penyelidikan dan persekitaran kerja yang kondusif.

Dalam pada itu, Abang Johari turut menekankan kepentingan membangunkan ekosistem penyelidikan yang kukuh melalui peningkatan kemudahan makmal, penglibatan sektor industri dan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi.
Tambahnya, usaha itu penting bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada inovasi, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Profesor Pierre Agostini ialah ahli fizik terkemuka yang dianugerahkan Hadiah Nobel Fizik 2023 atas sumbangan perintisnya dalam bidang fizik attosaat, yang membolehkan pergerakan elektron dalam atom dan molekul dikaji pada skala masa amat singkat.
Abang Johari turut berharap kejayaan tokoh saintis seperti Profesor Pierre Agostini dapat menjadi inspirasi kepada pelajar, pensyarah dan penyelidik muda untuk terus meneroka ilmu serta menghasilkan penemuan yang memberi manfaat kepada masyarakat.






