ARTIKEL

SPR dijangka tetapkan kempen 12 hingga 14 hari bagi PRU Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pada 5 Disember depan dilihat sebagai antara tarikh yang munasabah untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, dengan hari penamaan calon dijangka sekitar 21 November.

Penganalisis sosiologi politik, Dr Novel Lyndon berkata, jangkaan ini mengambil kira keperluan mengurus pilihan raya di 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang mempunyai bentuk muka bumi dan jaringan perhubungan berbeza.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan semua urusan, termasuk penyediaan pusat mengundi, latihan petugas, penghantaran peralatan dan pengangkutan ke kawasan pedalaman, dapat dilaksanakan dengan teratur.

“Pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2021 juga boleh dijadikan panduan apabila SPR menetapkan penamaan calon pada 6 Disember, pengundian awal pada 14 Disember dan hari mengundi pada 18 Disember, dengan tempoh kempen selama 12 hari.

“Saya melihat awal Disember lebih munasabah berbanding penghujung Disember, walaupun penghujung November masih merupakan pilihan yang realistik,” katanya ketika dihubungi.

Dari sudut perundangan, Novel berkata, pilihan raya mesti berlangsung dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN pada 26 Oktober, iaitu sebelum berakhirnya tempoh yang ditetapkan pada penghujung Disember.

Beliau berkata, dari sudut pentadbiran, awal Disember memberikan sedikit ruang tambahan kepada SPR untuk menyelesaikan persiapan, khususnya di kawasan pedalaman. Pada masa yang sama, tarikh tersebut masih dapat mengelakkan pilihan raya daripada berlangsung terlalu hampir dengan sambutan Krismas.

“Saya berpandangan bahawa SPR akan cuba mencari keseimbangan antara kecukupan masa persediaan, keadaan cuaca dan kemudahan pengundi.

“Oleh itu, tempoh antara 28 November hingga 5 Disember boleh dianggap antara jangkaan yang munasabah, tetapi belum boleh dianggap sebagai tarikh yang telah diputuskan,” katanya.

Jelasnya lagi, faktor ini sangat penting kerana Sarawak mempunyai kawasan pedalaman yang luas, termasuk penempatan yang bergantung kepada jalan balak, sungai dan pengangkutan air.

Katanya, musim hujan boleh menyebabkan banjir, kenaikan paras sungai dan kerosakan jalan yang menyukarkan pergerakan petugas serta pengundi.

“Kawasan seperti Baram, Kapit, Belaga dan beberapa kawasan pedalaman lain memerlukan perancangan logistik yang lebih teliti,” ujarnya.

Beliau menambah, cuti persekolahan juga perlu dipertimbangkan kerana banyak sekolah digunakan sebagai pusat mengundi.

“Begitu juga sambutan Krismas kerana sebahagian masyarakat Sarawak akan pulang ke kampung atau membuat persiapan bersama keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Novel berkata, daripada perspektif sosiologi politik, tarikh pilihan raya bukan sekadar soal pentadbiran, tetapi turut melibatkan keadilan akses kepada proses demokrasi.

Beliau berkata, pengundi di pedalaman sepatutnya mempunyai peluang yang sama untuk mengundi seperti penduduk bandar.

Oleh itu, katanya, aspek keselamatan, akses pengangkutan dan keselesaan pengundi perlu menjadi pertimbangan utama SPR.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Daftar Pemilih Tambahan (DPT) September 2026 dijangka menjadi daftar tambahan terakhir yang digunakan dalam PRU DUN Sarawak Ke-13.

Beliau berkata, DPT September diperakui dan diwartakan pada 22 Oktober 2026, iaitu sebelum pembubaran DUN pada 26 Oktober 2026.

“Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 menetapkan bahawa SPR perlu menentukan penggunaan daftar pemilih induk dan daftar pemilih tambahan terakhir yang diperakui sebelum pembubaran DUN.

“Oleh itu, daftar Oktober yang diperakui selepas pembubaran tidak boleh digunakan berdasarkan peruntukan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengundi muda yang baharu mencapai usia 18 tahun perlu memastikan nama mereka telah dimasukkan dalam daftar pemilih yang akan digunakan bagi pilihan raya berkenaan.

Mengenai tempoh berkempen, Novel menjangkakan SPR menetapkan antara 12 hingga 14 hari, berdasarkan pengalaman pilihan raya terdahulu.

Bagaimanapun, katanya, tempoh berkenaan mungkin agak singkat bagi calon yang bertanding di kawasan luar bandar dan pedalaman kerana perlu mengambil kira jarak perjalanan serta keadaan pengangkutan untuk mengunjungi rumah panjang dan kampung.

“Dari sudut sosiologi politik, kempen pilihan raya di Sarawak masih sangat bergantung kepada hubungan peribadi, kepercayaan masyarakat dan pertemuan secara bersemuka. Oleh itu, kempen digital sahaja tidak dapat menggantikan hubungan langsung antara calon dengan pengundi.

“Saya berpandangan bahawa tempoh kempen sekitar 14 hari lebih sesuai untuk Sarawak kerana dapat memberikan peluang yang lebih adil kepada semua calon, khususnya mereka yang bertanding di kawasan pedalaman,” katanya.

BERITA LAIN

Sarawak gesa agensi percepat projek RMK-13 sebelum 2030

KUCHING: Semua kementerian, jabatan dan agensi di Sarawak digesa mempercepat pelaksanaan keutamaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kerana tempoh menuju sasaran Strategi Pembangunan

BERITA TERBARU