ARTIKEL

ADAM AI bantu penjawat awam Sarawak akses maklumat, analisis dasar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkenalkan ADAM AI sebagai pembantu kecerdasan buatan (AI) khusus bagi membantu penjawat awam mengakses maklumat kerajaan, menjalankan analisis dasar dan menyediakan dokumen rasmi dengan lebih cekap.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan aplikasi itu antara langkah menterjemahkan pelaburan negeri dalam infrastruktur digital kepada penggunaan praktikal dalam perkhidmatan awam negeri.

“ADAM AI ialah pembantu untuk penjawat awam kita. Ia menyediakan alat kepada pegawai untuk mengakses maklumat kerajaan yang dibenarkan, membantu penyelidikan dan analisis dasar serta menambah baik penyediaan dokumen rasmi.

“Ini bertepatan dengan slogannya, iaitu Kecerdasan untuk Setiap Penjawat Awam, yang mencerminkan hasrat Kerajaan Sarawak untuk melengkapkan pegawai dengan teknologi dan pengetahuan yang dapat meningkatkan keberkesanan pelaksanaan tugas,” katanya pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2026, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan teknologi AI tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia, integriti atau akauntabiliti dalam membuat keputusan kerajaan.

“AI boleh membantu kita mendapatkan pengetahuan, menganalisis maklumat dan mempertimbangkan pelbagai sudut pandangan, tetapi ia tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia, integriti atau akauntabiliti.

“Tanggungjawab terhadap keputusan kerajaan mesti sentiasa berada pada pegawai yang diamanahkan untuk membuat keputusan tersebut,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata asas kepada pembangunan keupayaan itu diperkukuh menerusi pelancaran Platform Infrastruktur AI Berdaulat Sarawak pada 17 Ogos lalu bagi membina keupayaan AI sendiri dan memberi kawalan lebih besar terhadap data kerajaan serta sumber digital negeri.

“Namun, penyediaan infrastruktur sahaja tidak mencukupi sekiranya keupayaan itu gagal diterjemahkan kepada aplikasi yang membantu penjawat awam bekerja dengan lebih cekap dan bertanggungjawab.

“Teknologi perlu melakukan lebih daripada sekadar mendigitalkan proses sedia ada. Ia mesti membolehkan kita bekerja dengan lebih pintar, menggunakan maklumat dengan lebih baik dan memberikan nilai lebih besar kepada rakyat,” jelasnya.

Menurutnya, AI, automasi, analisis data dan teknologi digital lain semakin mengubah cara organisasi beroperasi, sekali gus memerlukan penjawat awam menguasai kemahiran untuk menggunakannya secara bertanggungjawab dan berkesan.

Pada masa sama, beliau menegaskan pembangunan bakat, kepakaran serta keupayaan institusi perlu bergerak seiring dengan pelaburan teknologi supaya manfaat ekonomi dan sosial yang nyata dapat dihasilkan.

BERITA LAIN

MAIS Kaji Cadangan Pengkodifikasian Adat Tagal

LAWAS: Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) menjalankan kajian awal bagi menilai keperluan dan kebolehlaksanaan cadangan pengkodifikasian ‘Adat Tagal’ susulan permohonan masyarakat berkenaan. Kajian itu bertujuan

BERITA TERBARU

Sistem integriti Perkhidmatan Awam Sarawak jadi model dunia

KUCHING: Sistem integriti Perkhidmatan Awam Sarawak mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) menyifatkannya sebagai model yang boleh dicontohi dunia. Premier Sarawak, Datuk Patinggi