KUCHING: Sistem integriti Perkhidmatan Awam Sarawak mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) menyifatkannya sebagai model yang boleh dicontohi dunia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pengiktirafan itu turut merangkumi pelaksanaan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dalam perkhidmatan awam negeri.
Menurutnya, pengiktirafan itu turut membawa jemputan kepadanya untuk berkongsi maklumat tentang sistem Perkhidmatan Awam Sarawak di Vienna, Austria.
“Dekan IACA, Drago Kos bersama saya semalam dan beliau berkata sistem di Sarawak termasuk perkhidmatan awam dan pegawai CeIO, merupakan satu model untuk dunia ikuti.
“Mereka juga meminta saya memberi ceramah di Vienna mengenai sistem Perkhidmatan Awam Sarawak. Ini merupakan satu pengiktirafan,” katanya pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pengiktirafan antarabangsa itu mencerminkan peningkatan standard pentadbiran dan tadbir urus negeri hasil komitmen penjawat awam dalam memperkukuh integriti serta akauntabiliti.
“Pengiktirafan ini hadir ketika Sarawak sedang bergerak ke fasa pembangunan lebih kompleks menuju 2030, termasuk aspirasi memperkukuh teknologi, ekonomi baharu dan keupayaan institusi.
“Kejayaan agenda pembangunan kita bukan sahaja bergantung kepada sumber yang dilaburkan atau rancangan yang dirangka, tetapi juga kekuatan institusi dan kemampuan perkhidmatan awam untuk menterjemahkan aspirasi itu kepada realiti,” ujarnya.
Beliau menambah, keyakinan terhadap keupayaan Sarawak turut datang daripada pemain ekonomi global seperti SoftBank yang melihat dasar, modal insan dan pendidikan percuma negeri sebagai antara faktor penting yang meningkatkan daya tarikan negeri kepada pelaburan teknologi tinggi.
Menurut beliau, pandangan daripada institusi antarabangsa dan pelabur global tersebut menunjukkan keupayaan manusia serta kekuatan institusi semakin menjadi aset penting dalam menentukan kedudukan Sarawak pada masa depan.
Drago, Setiausaha Eksekutif IACA, sebelum ini menyifatkan sistem pegawai integriti Sarawak sebagai pendekatan unik yang boleh menjadi rujukan kepada wilayah dan negara lain.
IACA berpangkalan di Laxenburg, Austria.
Kerjasama Sarawak dengan IACA diperkukuh menerusi memorandum persefahaman antara Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak dengan IACA dalam pembangunan kapasiti, pertukaran pengetahuan serta pembangunan profesional berkaitan integriti.
Kerjasama itu turut menyokong Program Kepimpinan Tadbir Urus Serantau Sarawak 2026 yang berlangsung pada 2 hingga 5 November dengan penyertaan 70 CeIO Sarawak dalam latihan berkaitan integriti, pencegahan rasuah dan tadbir urus baik.




